PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa tiada seorang saksi melihat kedua tertuduh, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengabaikan anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin pada 5 dan 6 Disember 2023.
Perkara itu dimaklumkan, Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Polis (ASP) Mohd. Hafizee Ismail semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela, Haresh Mahadevan.
Haresh: Adakah ASP tahu daripada 27 saksi yang dipanggil, tiada seorang pun yang mengatakan bahawa mereka ada lihat tertuduh pertama (Zaim Ikhwan) atau tertuduh kedua (Ismanira) atau mereka bersama mengabaikan Zayn Rayyan pada 5 dan 6 Disember 2023?
Mohd. Hafizee: Tak pasti.
Haresh: Mengikut siasatan anda saksi mana yang cakap?
Mohd. Hafizee: Tiada saksi.
Setakat hari ke-19 perbicaraan, seramai 28 saksi termasuk dua orang kanak-kanak telah dipanggil ke mahkamah untuk memberikan keterangan.
Menjawab pertanyaan lanjut, saksi pendakwaan ke-28 itu turut bersetuju tiada saksi melihat kedua-dua tertuduh (Zaim Ikhwan dan Ismanira) di kawasan sungai berdekatan blok R, Apartment Idaman itu.
Haresh: Mengikut siasatan anda, ada ke saksi yang melihat kedua tertuduh berada di kawasan sungai berdekatan blok R. Saksi yang mana satu?
Mohd. Hafizee: Tiada.
Dalam pada itu, merujuk kepada laporan bedah siasat, Mohd. Hafizee juga tidak menafikan cadangan Haresh yang mengatakan mayat kanak-kanak itu tiada kecederaan lama yang menunjukkan kesan penderaan.
Haresh: Berdasarkan tiga laporan perubatan, setuju saya cadangkan bahawa ibu bapa Zayn Rayyan ada membawanya berjumpa doktor untuk dapatkan rawatan sekiranya tidak sihat? Ada atau tidak mana-mana laporan itu menyatakan Zayn Rayyan diabaikan dan disimpan di rumah ketika sakit?
Mohd. Hafizee: Tiada.
Haresh: Laporan autopsi juga mengatakan tiada sebarang kecederaan lama untuk menunjukkan bahawa arwah Zayn ini kononnya adalah mangsa penderaan, betul?
Mohd. Hafizee: Betul.
Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira; kedua-duanya berusia 30 tahun yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023, pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.
Pertuduhan masih kekal mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum Rm50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN