IPOH: Pihak yang mendakwa barangan peribadi mangsa kemalangan maut di Kilometer 264.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan selepas Terowong Menora Ahad lalu hilang selepas kejadian, masih belum tampil membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya telah cuba menghubungi individu yang menularkan dakwaan berkenaan namun usaha tersebut gagal.
“Kita berusaha menghubungi adik mangsa yang menularkan isu kehilangan itu tetapi (panggilan) tidak berjawab malah mesej juga tidak dibalas. (Setakat ini) tiada pihak tampil membuat aduan berkaitan kehilangan.
“Kita sedang berurusan dengan pihak PLUS untuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi-saksi awam yang menyasikan kejadian itu,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu Abang Zainal meminta kerjasama pemilik kamera papan pemuka kenderaan yang berjaya merakam kemalangan itu untuk tampil membantu siasatan.
Katanya, sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Faiz Abdul Khalim di talian 018-372 8477.
“Pihak polis ada menerima satu video tular di media sosial yang memaparkan sebuah pacuan empat roda berwarna merah menggilis mangsa sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.
“Kita minta saksi awam untuk tampil salurkan maklumat untuk kita melengkapkan siasatan. Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan ibunya yang sedang hamil lapan bulan meninggal dunia selepas tercampak keluar dari kereta dalam kejadian selepas Terowong Menora.
Mangsa, Naira Falisha Abdul Rahman yang parah maut di lokasi kejadian manakala ibunya, Nur Fatihah Badrul Hisham, 25, pula menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9 pagi tadi ketika mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Dalam kejadian sekitar pukul 6.45 petang itu, bapa mangsa Abdul Rahman Abdul Rahim, 29, pula dilaporkan mengalami kecederaan parah. – UTUSAN