Tiada laporan pengguna ditipu syarikat katering

Tiada laporan pengguna ditipu syarikat katering

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis hanya menerima satu laporan daripada pemilik sebuah syarikat katering yang mendakwa kenderaannya dirosakkan sekumpulan individu selepas tidak berpuas hati dengan tempahan untuk majlis akikah dibuat mereka.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, laporan itu dibuat oleh pemilik syarikat terbabit di Balai Polis Sungai Petani pada Khamis.

“Oleh itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan siasatan kini dalam proses untuk dilengkapkan. Belum ada mana-mana individu dipanggil untuk dirakam keterangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Azharuddin berkata, sehingga kini pihaknya juga belum menerima laporan daripada mana-mana individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan syarikat katering.

“Individu yang mendakwa menjadi mangsa scam syarikat katering berkenaan hanya membuat tuduhan melalui hantaran di Facebook sahaja. Mereka perlu tampil membuat laporan untuk membolehkan siasatan dilakukan,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan niat seorang lelaki mahu mengadakan majlis akikah anaknya terpaksa diubah menjadi jamuan biasa apabila mendakwa menjadi mangsa ‘scam’ sebuah syarikat katering.

Mangsa mendakwa, hasrat mahu melakukan majlis akikah pada hari raya ketiga itu tidak boleh diteruskan disebabkan tiada lembu yang khusus untuk ibadah itu.

Dakwanya, episod malang bermula apabila pihak katering menghubungi ibunya kira-kira pukul 3 pagi pada hari kejadian bagi memaklumkan kononnya lembu yang mahu disembelih untuk akikah telah dijual oleh tuannya kepada orang lain.

Ujar mangsa, majlis jamuan itu juga akhirnya bermasalah apabila makanan tiba lewat, selain juadah dihantar tidak mencukupi.

Katanya, dia telah membuat pembayaran sebanyak RM5,410 tetapi modal bagi juadah diterima tidak sampai RM1,500 selain menu daging kurma dan rendang yang dijanjikan tidak ada sehingga majlis tamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya