IPOH: Kerajaan negeri tidak pernah meluluskan sebarang pembukaan ladang babi baharu di kawasan yang dikenal pasti sebagai majoriti penduduk Melayu Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, sebahagian besar ladang-ladang yang wujud pada hari ini adalah warisan operasi sejak beberapa dekad lalu.
Katanya, Jawantankuasa Pengstrukturan Semula Ladang-Ladang Khinzir Perak telah bertindak agresif dengan data terkini menunjukkan pengurangan ladang daripada 115 pada hujung tahun 2022 kepada 85 buah ketika ini.
“Sebanyak 30 ladang khinzir telah ditutup di Perak hasil daripada penguatkuasaan undang-undang, wabak penyakit yang melanda babi domestik, isu berkaitan pemilikan serta penggunaan tanah.
“30 ladang ini telah ditutup sepenuhnya dan tidak lagi dibenarkan beroperasi semula tanpa kompromi,” katanya semasa menggulungkan portfolionya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Beliau berkata, kenyataan bahawa terdapat ladang-ladang ternakan haram di Perak secara berleluasa adalah tidak benar.
“Kerana kesemua 85 ladang-ladang yang sedang beroperasi di negeri Perak mempunyai lesen penternakan yang dikeluarkan oleh Jabatan Veterinar negeri,” katanya.
Sivanesan menyangkal dakwaan lebih 30 kandang babi beroperasi di kawasan Batang Padang sepertimana kenyataan Ahli DUN Manjoi, Hafez Sabri.
Hafez bagaimanapun mendakwa beliau hanya merujuk kepada data Jabatan Veterinar dan kedua-dua mereka bersetuju untuk sama-sama turun padang bagi membuktikan bilangan ladang babi yang bercanggah itu. – UTUSAN