TH pastikan keselamatan jemaah haji di KLIA melalui latihan simulasi

TH pastikan keselamatan jemaah haji di KLIA melalui latihan simulasi

PARA petugas melakukan latihan simulasi pengungsian bangunan di KLIA, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengadakan latihan simulasi pengungsian bangunan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini bagi memastikan keselamatan jemaah haji sentiasa terjamin menjelang musim haji.

Timbalan Pengarah Gerakan, Operasi Haji Tanah Air TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, latihan itu diadakan setiap tahun sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan atau kecemasan ketika jemaah berkumpul sebelum berlepas ke tanah suci.

“Keselamatan setiap bakal haji adalah keutamaan kami. Latihan ini sebahagian daripada modul kursus persediaan petugas haji tanah air, terutamanya menjelang pelepasan kumpulan pertama pada 29 April ini melibatkan seramai 284 jemaah ke Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, simulasi tersebut bertujuan memastikan bakal haji, petugas TH serta MAHB bersedia menghadapi kecemasan seperti kebakaran, bencana alam, rusuhan atau krisis lain.

Menurutnya, latihan tersebut dilaksanakan mengikut Pelan Tindakan Kecemasan OHTA dan Pelan Kecemasan Aerodome (AEP) yang menyelaras tindakan agensi berkaitan di KLIA.

“Kami amat menghargai kerjasama Malaysia Airports serta agensi lain termasuk Airport Fire Rescue Service (AFRS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Civil Aviation Authority Malaysia (CAAM) dalam memastikan latihan ini berjalan lancar,” katanya.

Difahamkan, latihan tersebut disertai lebih 200 peserta termasuk petugas TH, kakitangan MAHB, unit operasi KLIA, agensi keselamatan serta pasukan perubatan lapangan terbang.

Selain KLIA, sesi simulasi turut dijadualkan di tiga lagi stesen pelepasan negeri tahun ini, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud di Kuala Terengganu, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya