BAGAN DATUK: Barisan Nasional (BN) mengucapkan terima kasih kepada komponen Pakatan Harapan (PH) kerana membantu parti itu sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesepakatan itu diterjemahkan seperti mana PRK terdahulu di DUN Nenggiri, Kelantan dan DUN Mahkota, Johor yang dimenangi oleh calon BN.
“Sepanjang tempoh berkempen, saya mengucapkan terima kasih bukan hanya kepada jentera BN daripada kesemua parti komponen, tetapi juga kepada jentera parti-pari komponen PH yang telah membantu kita,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Karnival Risda Madani Zon Utara Tahun 2025 di sini hari ini.
Ahmad Zahid mendoakan agar kemenangan berpihak kepada calon BN yang mewakili gabungan BN-PH yang membentuk Kerajaan Perpaduan sejak tamat Pilihan Raya Umum Ke-15 pada hujung 2022.
Beliau bagaimanapun melihat faktor kemenangan akan bergantung kepada peratusan yang keluar mengundi terutama pengundi Melayu Islam dari luar kawasan yang baru sahaja menyambut Hari Raya serta sambutan Qing Ming oleh masyarakat Cina pada awal bulan ini
Ahmad Zahid yang dimaklumkan peratusan keluar mengundi hanya 26.36 peratus setakat 11 pagi, merasakan kadar itu masih rendah kerana bagi beliau sepatutnya peratusan mengundi sudah melebihi 50 peratus pada waktu tengahari.
Jelasnya, jentera parti telah diarahkan untuk menghubungi pengundi supaya keluar mengundi termasuk menawarkan perkhidmatan kenderaan bagi membawa pergi ke tempat mengundi dan dihantar pulang.-UTUSAN