PETALING JAYA: Pegawai Penyiasat kes mendedahkan kepada Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa terdapat kesan darah pada bilik tidur dan tandas di rumah kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Asisten Superintendan Polis (ASP) Mohd. Hafizee Ismail berkata, darah itu dikesan semasa menjalankan proses mendapatkan tindak balas kesan darah (luminol) pada malam 9 Disember 2023.
“Hasil siasatan kami mendapati terdapat kesan darah di bilik nombor dua di rumah si mati (Zayn Rayyan) dan terdapat kesan darah atau asid deoksiribonukleik (DNA) di dalam bilik air rumah si mati.
“Saya telah hantar semua calitan (swabbing) DNA yang diambil dari pihak forensik. Setelah dimaklumkan itu adalah tindak balas darah, saya telah buat siasatan untuk mengesahkan mengapa darah tersebut berada di dalam bilik dan jugak bilik air,” katanya.
Susulan penemuan itu, pihaknya telah merakam percakapan bersama Ismanira bagi mengenalpasti punca kesan darah tersebut.
“Saya ada rakam percakapan tertuduh, Ismanira. Hasil keterangan tertuduh menyatakan si mati (Zayn Rayyan) pernah berdarah di bahagian hidung dan kebiasannnya si mati akan mencalit kesan hingus atau hidung berdarah pada kawasan dinding di dalam bilik ataupun di dalam rumah.
“Selain itu, Ismanira juga ada menyatakan si mati pernah berdarah disebabkan terkena pisau cukur di dalam bilik air. Namun, DNA atau darah yang ditemukan di dalam bilik air tersebut adalah milik Zaim Ikhwan sebagaimana dalam laporan kimia,” katanya.
Bagaimanapun semasa prosiding, Mohd. Hafizee tidak menjelaskan secara terperinci tentang kesan darah yang ditemui dalam bilik.
Terdahulu, saksi pendawaan ke-28 itu turut memberitahu mahkamah, telah pergi ke beberapa lagi buah rumah yang dipercayai terlibat untuk menjalankan proses sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala kedua tertuduh diwakili peguam bela Haresh Mahadevan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung esok. – UTUSAN