KANGAR: Malaysia tegas menolak tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan tarif baharu ke atas negara ini, namun perlu mengambil pendekatan sederhana bagi menjaga hubungan antara kedua-dua negara demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, biarpun tidak bersetuju dengan keputusan AS itu, Malaysia memilih jalan diplomasi agar kepentingan ekonomi negara tidak menjejaskan kehidupan rakyat dan pertumbuhan ekonomi negara yang sedang berkembang dengan cukup baik.
Katanya, dalam menangani masalah tersebut, Malaysia menghantar dua menteri ke AS untuk berunding supaya mereka memahami bahawa tindakan dan keputusan yang dilakukan itu lebih adil.
“Ada orang tanya saya, adakah kita setuju dengan tarif, kita tidak setuju. Malaysia adalah negara dagang tidak ada negara waima AS yang harus menetapkan kadar tarif sewenang-wenangnya ikut penilaian mereka namun kita akan tangani dengan bijaksana.
“Sebab itu juga, kita juga panggil satu sidang khas di Dewan Rakyat pada 5 Mei depan bagi membincangkan isu tarif berkenaan. Inilah masa semua parti dan rakyat bersatu serta fokus kepada pertumbuhan negara.
“Malaysia ini adalah negara hebat dan mampu jadi negara contoh di antara negara terbaik di Asia dengan syarat kita perlu bersatu dan bekerja kuat untuk mengangkat martabat ekonomi kita,” katanya.
Presiden AS, Donald Trump pada 3 April lalu mengumumkan negaranya akan memperkenalkan tarif asas sebanyak 10 peratus kepada semua negara dan duti yang lebih tinggi melibatkan beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus.
Anwar berkata, pertumbuhan ekonomi negara ketika ini menggalakkan dengan mencecah 5.1 peratus selain pelaburan tertinggi pernah dicapai di dalam sejarah serta kadar inflasi juga berada dalam keadaan terkawal.
Katanya, ketika kemajuan ekonomi negara berada pada tahap terbaik namun dikejutkan pula dengan kenaikan tarif oleh AS itu.
“Dia (AS) kenakan kita kenaikan tarif iaitu bermakna barang Malaysia yang hendak bawa ke Amerika itu jadi mahal dan ini menjadi masalah kepada ekonomi negara.
“Alhamdulillah, setakat ini ditangguhkan 90 hari, supaya kita boleh bernafas. Ada negara-negara jiran seperti Thailand, Kemboja, Vietnam dan Indonesia yang ditekan dengan tarif lebih tinggi.
“Kita negara yang mengeluarkan semikonduktor yang besar dan Malaysia negara kedua di dunia yang menghasilkan semikonduktor paling tinggi di dunia dan eksport kita 60 peratus ke AS membabitkan nilai lebih RM140 bilion.
“Sebab itu, hubungan antarabangsa termasuk dengan AS harus kekal sederhana supaya jangan menjejaskan kehidupan rakyat, pekerjaan mereka dan pertumbuhan ekonomi. Untuk apa pertumbuhan ekonomi ini, untuk pastikan keselesaan kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan
Aidilfitri Madani peringkat negeri Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis di sini semalam.
Berangkat sama, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail bersama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan semua negeri termasuk Perlis dengan peruntukan yang disalurkan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri itu terus ditingkatkan setiap tahun.
Pada 2022, sebanyak RM168.4 juta disalurkan dan ditingkatkan kepada RM182.3 juta pada 2023 dan terus meningkat kepada RM210.6 juta pada 2024.
“Kenaikan secara keseluruhan daripada tahun 2022 hingga 2024 itu adalah sebanyak 25 peratus.
“Peruntukan Pembangunan (DE) Perlis turut dinaikkan iaitu pada 2022 sebanyak RM391.91 juta, 2023 pula sebanyak RM596.82 juta dan RM645.58 juta pada 2024 sekali gus menunjukkan kenaikan keseluruhan daripada tahun 2022 hingga 2024 adalah 65 peratus.
“Berhubung cabaran kos sara hidup, kerajaan menambahbaik program sumbangan asas Rahmah (Sara) dengan peruntukan tambahan RM3 bilion melibatkan penerima daripada 700,000 kepada 5.4 juta bermula 1 April 2025. Setiap isi rumah menerima sehingga RM100 sebulan yang dikreditkan melalui MyKad dibelanjakan di kedai runcit.
“Di Perlis, penerima yang menerima manfaat Sara ini ialah 25,682 pada 2024 dan meningkat kepada 62,292 setakat April 2025 iaitu peningkatan hampir 2.5 kali ganda,” katanya. – UTUSAN