PUTRAJAYA: Sungai Teluk Gong yang terletak di Pelabuhan Klang boleh diibaratkan sudah mati ekoran pencemaran yang serius hingga dengan kualiti airnya tidak sesuai untuk sebarang kehidupan.
Keadaan ini boleh mengancam kesihatan lebih 40,000 penduduk sekitarnya, selain memudaratkan ekosistem dan alam sekitar.
Hasil ujian kualiti air yang diambil dari empat anak sungai sepanjang kira-kira 20 kilometer yang mengelilingi Teluk Gong hingga ke Pelabuhan Klang oleh sebuah makmal bebas bertauliah di Selangor mendapati kandungan amonia dalam airnya sangat tinggi.
Selain itu Keperluan Oksigen Biokimia (BOD) dan Keperluan Oksigen Kimia (COD) juga tinggi dari paras biasa jika mengikut Standard Kualiti Air Kebangsaan (NWQS), iaitu berada pada kelas V, kategori paling tercemar.
Kandungan BOD, COD dan tahap pencemaran organik atau kadar karbon organik (TOC) serta ammonia yang sangat tinggi menjadikan sumber air dari sungai itu bertoksik kepada kehidupan termasuk ikan-ikan tidak boleh hidup di dalamnya.
Tiga daripada empat lokasi itu sampel air diambil menunjukkan tahap pencemaran bahan-bahan terbabt yang tinggi sekali gus menandakan pencemaran organik dan nitrogenik berat, konsisten sepanjang sungai.
Empat lokasi itu ialah anak Sungai Teluk Gong di Jalan Pusara Indah (Lokasi 1), Jambatan Jalan Teluk Gong (Lokasi 2), Pangkalan Nelayan Sungai Udang (Lokasi 3) dan Pangkalan Nelayan Jalan Perajurit (Pos PGA) (Lokasi 4).
Jumlah partikel padat terlarut dalam air (TSS bervariasi) di empat lokasi yang paling jernih pula (25 mg/L) masih tercemar dengan bahan kimia. Air nampak bersih tapi penuh bahan pencemar.
Dapatan ini menunjukkan sungai ini tergolong dalam kategori ‘Sangat Tercemar (Kelas V)’ secara keseluruhan, dengan hanya satu lokasi menunjukkan kualiti sederhana (Kelas III).
Pencemaran utama datang dari bahan organik dan ammonia, berkemungkinan besar berpunca dari pembuangan sisa kumbahan (domestik atau industri), aktiviti penternakan atau pertanian tanpa sistem rawatan dan pelepasan tidak terkawal dari kawasan perbandaran.
Utusan Malaysia pada 15 September tahun lalu melaporkan isu pencemaran teruk di Teluk Gong yang kini bertukar sebagai pusat pelupusan dan pemprosesan sisa industri, plastik dan tayar terpakai berskala ‘mega.’
Berlakunya keadaan itu akibat kewujudan puluhan kilang disyaki beroperasi secara haram menjalankan kerja-kerja pemprosesan sisa buangan yang tidak melalui proses atau prosedur yang betul.
Namun selepas tujuh bulan laporan itu disiarkan, sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak bertanggungjawab untuk mengatasi masalah itu.
Terkini, berdasarkan dapatan ujian sampel kualiti air itu mendedahkan, air sungai itu bukan lagi dikategorikan sebagai air sungai, malah lebih teruk daripada kategori air pelepasan sisa (industri dan domestik).
Mengulas mengenai dapatan ujian itu, Pakar Kualiti Air dan Permodelan, Dr. Zaki Zainudin, berkata, ammonia lazimnya berpunca dari pencemaran bahan organik, sisa domestik atau industri.
Ammonia juga boleh berpunca dari sisa kimia seperti pelarut dan lain-lain bahan kimia.
Kesan kandungan tinggi ammonia dalam sumber air sungai boleh menjadi toksik kepada ikan, bermakna ikan-ikan sensitif tidak boleh hidup.
“Nilai BOD (air sungai atau alur air) melebihi 50 mg/L di kebanyakan lokasi persampelan. Ini bukan sahaja berada pada Kelas V (keadaan tercemar) mengikut Standard Kualiti Air Kebangsaan, malahan ia juga lebih tinggi dari Piawaian B, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 berkaitan kawalan pelepasan air sisa (industri dan domestik).
“Nilai BOD dan COD, yang sebegitu tinggi, menggambarkan ketidakpatuhan atau terdapat sumber pencemaran lain.
“Kandungan oksigen terlarut (DO) di banyak lokasi juga kurang dari 0.5 mg/L; sangat rendah dan tidak sihat untuk ekologi sungai atau jasad air,” katanya di sini semalam
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kawasan Teluk Gong tercemar selepas bertukar bagai pusat pelupusan dan pemprosesan sisa industri, plastik dan tayar terpakai berskala ‘mega.’
Ia berlaku akibat kewujudan puluhan kilang disyaki beroperasi secara haram menjalankan kerja-kerja pemprosesan sisa buangan tidak melalui proses atau prosedur betul.
Keseluruhan kilang dan premis dikesan di sekitar sungai itu dipercayai menjadi penyumbang kepada masalah pencemaran di Teluk Gong sehingga menyebabkan air anak sungai menjadi hitam legam. – UTUSAN