Sultan Sallehuddin titah beri perhatian kawasan luar jelapang padi

Sultan Sallehuddin titah beri perhatian kawasan luar jelapang padi

Sultan Sallehuddin ketika pada Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Kedah ke-15 di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan sokongan terhadap pelaksanaan inisiatif penanaman padi lima musim dua tahun di kawasan jelapang padi sebagai usaha memastikan keterjaminan bekalan beras negara.

Baginda turut menyeru agar kawasan tanaman padi yang berada di luar jelapang diberikan perhatian serius sekali gus dapat meningkatkan jumlah pengeluaran padi.

Sultan Sallehuddin turut menyarankan agar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) meneruskan kajian selain penggunaan teknologi pertanian moden.

“Beta ingin menyarankan agar MADA dan MARDI dapat meningkatkan usaha melaksanakan kajian berterusan dan menggunakan teknologi pertanian moden khususnya dalam penghasilan benih padi yang berkualiti serta penggunaan jentera moden yang cekap.

“Penghasilan padi juga bergantung kepada sumber air dari kawasan hutan tadahan air yang turut menyokong keperluan domestik dan industri. 

“Dalam hal ini, kerajaan beta perlu tegas untuk melindungi kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda sebagai jaminan kelestarian sumber air yang mencukupi dan selamat disamping menjamin pengekalan pelbagai spesies flora dan fauna,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Kedah ke-15 di sini, hari ini.

Pada 27 Februari lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu projek pembangunan infrastruktur bagi menyokong program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun diberi keutamaan dan disegerakan bagi membela nasib pesawah.

Perdana Menteri berkata, perkara itu penting memandangkan projek berkenaan memiliki kaitan cukup rapat dengan kehidupan serta pendapatan golongan pesawah.

Dalam pada itu, Sultan Kedah menggesa agar produk pelancongan di tanah besar dan Pulau Langkawi ditambah baik selain mengenalpasti produk pelancongan baharu untuk diperkenalkan sempena Tahun Melawat Kedah 2025.

Titah baginda, jaringan perhubungan dan pengangkutan juga harus diperkasakan terutamanya perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi.

“Tamadun Kedah Tua juga perlu ditonjolkan sebagai produk pelancongan yang mempunyai nilai peradaban yang tinggi terutamanya dari segi kemajuan teknologi, kebudayaan dan perdagangan antarabangsa sehingga membawa kepada kegemilangan warisan tamadun yang bertunjangkan agama Islam,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya