PETALING JAYA: Suami isteri yang juga pemilik pusat jagaan kanak-kanak persendirian Batu 9, Cheras, di sini, direman hari ini bagi membantu siasatan dakwaan melakukan penderaan fizikal dan emosi ke atas penghuni kediaman berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, reman terhadap suami isteri berusia 66 dan 68 tahun itu dibenarkan selama sehari.
Katanya, pasangan berkenaan akan dibebaskan dengan jaminan polis.
“Setakat ini seramai lima individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media semalam melaporkan pemilik pusat jagaan kanak-kanak persendirian berkenaan ditahan berhubung laporan mendakwa mereka melakukan penderaan fizikal dan emosi ke atas penghuni kediaman itu.
Naazron dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang remaja lelaki berusia 18 tahun mendakwa ditampar pemilik pusat jagaan berkenaan.
“Bertindak di atas maklumat, pemilik pusat jagaan terbabit yang juga pasangan suami isteri ditahan pada 3.30 petang, semalam.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya. – UTUSAN