PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Ekonomi menubuhkan pasukan khas memantau pelaksanaan projek pembangunan di peringkat negeri dan daerah, dalam usaha memperkukuh integriti dan ketelusan tadbir urus.
Pasukan khas ini berperanan memastikan maklumat peruntukan disalurkan secara berterusan antara kedua-dua pihak, sekali gus meningkatkan pengawasan terhadap aliran dana awam.
SPRM memaklumkan, pasukan ini turut diberi kuasa melakukan pemeriksaan mengejut serta siasatan terhadap unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pelaksanaan projek berkaitan.
“Pasukan ini membabitkan pemeriksaan mengejut dan siasatan terhadap sebarang unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pelaksanaan projek.
“Ia turut akan meneliti kelemahan dalam tatacara pelaksanaan (SOP) dan mencadangkan penambahbaikan bagi memperkukuh aspek tadbir urus melibatkan penentuan, penyaluran bajet, pemantauan serta pelaksanaan projek,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan itu berkata, pihaknya mengalu-alukan keterbukaan dan komitmen Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam memastikan ketelusan serta usaha membanteras ketirisan dalam pelaksanaan projek.
Beliau berkata, pendekatan tersebut wajar dijadikan contoh kepada kementerian dan agensi lain bagi memastikan setiap peruntukan yang diluluskan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Kesungguhan Datuk Seri Rafizi merupakan contoh terbaik yang wajar diikuti oleh kementerian dan agensi lain dalam usaha memerangi ketirisan demi kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN