PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini mengambil keterangan seramai 23 individu berhubung siasatan perolehan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan Sistem Command & Control, Communication & Computer Integration (C4i) bernilai kira-kira RM15 juta.
Menurut sumber, kesemua individu yang dirakam percakapan melibatkan saksi dan individu yang ditahan dalam kes ini.
“Setakat ini tiada tangkapan baharu dan kes masih dalam siasatan.
“Jumlah pembekuan akaun kes berkenaan setakat ini ialah RM7.6 juta,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi memaklumkan kes berkenaan masih dalam tindakan pihaknya.
Media sebelum ini melaporkan pengarah syarikat, ketua pegawai kewangan (CFO) dan dua pegawai polis antara enam individu ditahan pada Rabu lalu kerana disyaki terbabit tuntutan palsu bagi perolehan berkenaan.
Keenam-enam individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an ini kemudian direman tujuh hari sehingga 30 April.
Susulan itu, seorang lagi pegawai polis lelaki berpangkat superintenden berusia 54 tahun ditahan untuk membantu siasata, Jumaat lalu.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara tahun 2022 hingga 2025 dengan bersubahat mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta yang mana sebahagian daripada kerja komponen di khidmat sokongan tidak dilaksanakan seperti kehendak kontrak.
Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan di bawah Seksyen 4(1) Salah Guna Harta dan Pengubahan Wang Haram (AMLA).- UTUSAN