Sistem mohon bantuan JKM menyusahkan

Sistem mohon bantuan JKM menyusahkan

SEBAHAGIAN mangsa letupan paip gas yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Mangsa insiden letupan paip gas di Putra Heights di sini meluahkan rasa kecewa apabila sistem permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) didakwa tidak berfungsi dengan baik serta menyusahkan.

Menurut mereka, proses permohonan tuntutan bantuan yang sepatutnya mudah menjadi sebaliknya apabila mereka terpaksa melalui pelbagai prosedur berulang tanpa kepastian bantuan dapat diterima.

Mangsa yang ingin dikenali sebagai Huda, 54, berkata, selepas diarahkan mendaftar secara dalam talian (online), dia sekali lagi diminta mengisi borang fizikal kerana sistem tidak mengesahkan pendaftaran tersebut.

“Sudah ikut arahan daftar online, tapi akhirnya kena isi borang tangan. Lepas isi pun, bila datang pejabat JKM, nama langsung tidak ada dalam sistem.

“Setiap kali pergi, ada sahaja alasan, sistem tergendala, data hilang, kena daftar semula,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Huda berkata, kerenah birokrasi seperti itu menambah tekanan kepada mangsa yang masih dalam keadaan trauma dan kehilangan tempat tinggal.

“Kami baharu saja kehilangan rumah. Ada yang tinggal hanya dengan pakaian di badan,” katanya.

Seorang lagi mangsa yang ingin dikenali sebagai Faizal, 42, turut mengakui, dia berdepan pengalaman sama apabila permohonannya berulang kali gagal disahkan.

Menurutnya, meskipun sudah mendaftar secara dalam talian dan mengisi borang fizikal, tiada sebarang pengesahan atau makluman lanjut diterima sehingga kini.

“Saya sudah dua kali isi borang. Satu secara dalam talian, satu manual,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN