KAJANG: Kementerian Kesihatan akan melaksanakan sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) kebangsaan secara berfasa dalam perawatan hospital seluruh negara, bermula tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu dibuat sebagai usaha menangani kenaikan kos perubatan sekali gus membantu golongan yang memerlukan.
“Kita akan mempercepatkan lagi perbincangan dan libat urus dengan pelbagai pihak supaya dapat merumuskan satu sistem DRG yang bersesuaian dengan rakyat negara ini.
“DRG ini akan mengambil masa yang panjang untuk disempurnakan, tetapi kita akan memulakan dengan beberapa penyakit yang kurang kompleks.
“Kita tidak perlu merujuk kepada Amerika Syarikat atau mana-mana negara lain kerana kita akan bangunkan DRG sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkaitan projek MyGenom di Institut Genom dan Vaksin Malaysia di Jalan Bangi, di sini hari ini.
Menurut Dzulkefly, DRG melibatkan kerjasama erat antara pembuat dasar, doktor klinikal, pengamal perubatan, pakar ekonomi, pakar kesihatan, operator takaful serta pihak awam dan swasta.
“Inilah pendekatan yang kita mahu laksanakan iaitu pendekatan bersepadu dalam menentukan fokus rawatan dan intervensi kesihatan negara,” katanya.
Sebelum ini, KKM memaklumkan pihaknya sedang mengkaji pembangunan sistem DRG sebagai usaha menangani kenaikan caj premium insurans kesihatan yang tidak munasabah terhadap pengguna.
Sistem itu membolehkan golongan M40 dan B40 mendapatkan rawatan jelas di sektor swasta tanpa perasaan gusar mengenai caj harga berlebihan. – UTUSAN