Sindiket jual biskut ganja RM90 dalam media sosial tumpas

Sindiket jual biskut ganja RM90 dalam media sosial tumpas

RUSDI Mohd. Isa (depan dua kiri) menunjukkan barang rampasan jenis biskut ganja ketika sidang akhbar kejayaan JSJN Kuala Lumpur menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis ganja di IPK KL di sini hari ini.- UTUSAN/MUHAMMAD NAIM HELMI HAFIDZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kegiatan licik sindiket pengedaran dadah menjual ‘biskut ganja’ semurah RM90 sepeket secara dalam talian akhirnya tumpas apabila lapan individu termasuk dua wanita diberkas polis dalam dua serbuan berasingan minggu lalu.

Sindiket yang dipercayai beroperasi sejak setahun lalu itu memperoleh bekalan ganja dari Thailand sebelum memproses dan membungkusnya dalam bentuk biskut untuk dijual secara atas talian.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, serbuan pertama dilakukan pada pukul 2.20 pagi, Rabu lalu di dua unit kediaman di Mont Kiara melibatkan penahanan lima lelaki dan dua wanita tempatan berusia 20 hingga 28 tahun.

“Polis menemukan tiga beg berisi ganja mampat seberat 32 kilogram (kg) dan biskut ganja seberat dua kg dalam serbuan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurut Rusdi, susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah residensi di Jalan Duta pada keesokan harinya dan menahan seorang lelaki tempatan di kawasan parkir sekitar pukul 2.10 petang.

“Hasil pemeriksaan dalam kenderaan suspek menemukan satu kotak berisi biskut ganja seberat tujuh kg. Keseluruhan rampasan bernilai RM105,000,” jelasnya.

Tambah Rusdi, ujian air kencing mendapati lima daripada suspek positif ganja, manakala dua daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau.

Dalam operasi kedua pula, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menyerbu sebuah pusat hiburan di Kepong Baru, Jumaat lalu dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun.

“Suspek dipercayai mula mengedar dadah sejak sebulan lalu dan menyembunyikan bekalan dalam almari premis berkenaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.

Jelasnya, rampasan dalam serbuan itu melibatkan serbuk MDMA seberat 3.5 kg, 123 gram rokok ganja (112 batang), pil Erimin 5 (20 gram), ketamin (12 gram) dan pil ekstasi (11 gram), dengan nilai pasaran dianggarkan RM40,000.

Selain itu katanya, polis turut menyita wang tunai RM15,894 serta barang kemas dengan nilai keseluruhan sitaan mencecah RM32,800.

“Lima daripada enam suspek yang ditahan dalam serbuan itu didapati positif methamphetamine dan ketamin, manakala seorang wanita warga Vietnam negatif,” katanya.

Rusdi berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam kedua-dua operasi mampu menampung keperluan 100,000 penagih pada satu-satu masa.

“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN