KUALA LUMPUR: Satu sidang media khas akan diadakan minggu hadapan bagi memperincikan perkembangan isu membabitkan pembangunan semula Kampung Sungai Baru.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penjelasan itu penting susulan kekeliruan yang masih wujud dalam kalangan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung projek tersebut.
“Berkenaan isu ini (Kampung Sungai Baru), saya akan buat satu sidang media khas supaya semua orang faham. NGO yang datang ke sini pun saya lihat masih tidak faham.
“Jadi saya akan terangkan betul-betul supaya kedua-dua pihak, termasuk penduduk, benar-benar jelas dengan situasi sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Parlimen Titiwangsa di Perkarangan Pintu Gerbang Kampung Bharu, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan rumah flat dan teres mencetuskan kontroversi selepas sekumpulan penduduk mendakwa pampasan yang diterima adalah tidak setimpal dengan nilai sebenar hartanah mereka.
Isu berkenaan kembali menjadi perhatian selepas laporan media memetik beberapa penduduk mendakwa mereka ‘dipaksa’ keluar demi memberi laluan kepada projek pembangunan swasta.
Bagaimanapun, Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, menjelaskan di Parlimen bahawa kerjasama antara pemilik dan pemaju dibuat secara sukarela hasil rundingan yang dipersetujui bersama tanpa unsur paksaan, tekanan atau desakan daripada mana-mana pihak.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pihaknya telah memberi nasihat kepada penduduk sejak penggal pertamanya sebagai wakil rakyat agar tidak menandatangani perjanjian yang ditawarkan pihak pemaju.
“Saya dah pesan dari awal, masa penggal pertama saya dulu, supaya jangan tandatangan perjanjian itu. Tapi mereka tetap buat keputusan untuk tandatangan.
“Sebab itu saya rasa sekaranglah masanya untuk saya jelaskan secara menyeluruh dari mula sampai akhir agar semua pihak tahu perkara sebenar,” katanya.
Beliau justeru itu berkata, sidang media itu akan diadakan secepat mungkin pada minggu hadapan dan semua pihak berkaitan akan dijemput hadir untuk mendengar penjelasan rasmi.
Sementara itu, Johari turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri yang dijangka mencecah 20,000 pengunjung.
“Hari ini agak meriah. Saya anggarkan 20,000 orang akan datang dan makanan turut disediakan untuk jumlah itu. Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan bagi yang belum tiba, jemput datang sehingga pukul 3 petang,” katanya. – UTUSAN