Biarpun bertubuh kecil, penyanyi, Sarah Suhairi dilihat lincah melakukan sukan ekstrem seperti menunggang kuda dan menyelam.
Sarah berkata, aktiviti lasak itu mampu mencabar limitasinya sebagai wanita sekali gus membuktikan saiz tubuh bukanlah penghalang untuk seseorang itu menguji tahap kemampuannya.
“Saya tidaklah begitu profesional dalam menunggang kuda dan menyelam. Saya masih belajar. Tetapi saya suka untuk melakukan aktiviti seperti ini supaya dapat belajar cara mengawal tekanan tersebut,” katanya kepada Pancaindera.
Tambah penyanyi berusia 25 tahun itu, kedua-dua aktiviti kegemarannya itu membantu dirinya untuk lebih memahami serta berinteraksi dengan flora dan fauna.
“Untuk menunggang kuda dan menyelam ini kedua-duanya mempunyai cabaran tersendiri. Pada saya aktiviti ini mengajar saya untuk memahami alam semula jadi.
“Seperti menunggang kuda, emosi seekor kuda itu bergantung kepada emosi manusia ketika itu. Sekiranya kita sedang stres, kuda tersebut juga akan rasa tidak yakin dan percaya diri.
“Kita juga tidak boleh jangka ragam seekor kuda kerana adakalanya ‘mood’ boleh berubah-ubah. Begitu juga ketika menyelam, kita tidak dapat jangka apa yang terjadi sewaktu di dalam air.
“Jika mendapat jurulatih yang betul, kita dapat menangani situasi itu dengan mudah dan melakukannya dengan hati tenang,” jelasnya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Sah itu menyifatkan aktiviti menunggang kuda dan menyelam dapat membantu seseorang itu menjadi lebih fokus dan produktif.
“Bagi saya, aktiviti ini mengajar kita banyak perkara dari segi fizikal dan mental terutamanya cara untuk kekal tenang dalam menyelesaikan masalah yang berlaku ketika melakukan sukan tersebut.
“ Ia juga mengajar saya untuk fokus. Percayalah, kalau rasa macam anxiety atau depresi cubalah cari aktiviti yang boleh buat kita lupakan tentang masalah tersebut,” jelasnya.
Mengenai perbelanjaannya untuk kedua-dua hobi tersebut, Sarah mengakui dirinya tidak berkira berbelanja demi membeli kelengkapan aktiviti yang diminatinya.
Malah, penyanyi itu menganggap tiada istilah ‘hobi mahal’ jika dia benar-benar meminati aktiviti atau sukan yang diceburinya.
“Jika mula serius dengan hobi itu, kita akan melabur untuk membeli peralatan dan kelengkapan berkaitan sukan itu. Setiap hobi akan jadi mahal jika betul-betul minat.
“Tetapi untuk sukan berkuda, kelengkapan yang saya beli kebanyakannya boleh dipakai untuk jangka masa lama. Begitu juga dengan aktiviti menyelam, peralatannya kita boleh sewa,” katanya.
Ditanya sama ada pernah berdepan dengan sebarang kemalangan, Sarah memberitahu dia pernah patah kaki akibat terjatuh ketika menunggang kuda.
“Saya terpaksa menjalani pembedahan untuk masukkan besi. Sehingga kini, saya masih tidak mengeluarkan besi tersebut kerana tidak mahu memakai tongkat untuk tempoh yang ditetapkan.
“Tetapi, kejadian itu tidaklah membuatkan saya trauma kerana perkara itu adalah normal memandangkan kita tidak boleh kawal ragam haiwan.
“Cuma sekarang ini saya memilih untuk menunggang kuda yang tidak terlalu lincah kerana tidak mahu mengambil risiko pada masa akan datang,” kongsinya.