Semua sisa pepejal di Negeri Sembilan dilupuskan di Ladang Tanah Merah

Semua sisa pepejal di Negeri Sembilan dilupuskan di Ladang Tanah Merah

J. ARUL Kumar pada sesi pertanyaan lisan Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Semua sisa pepejal di seluruh Negeri Sembilan selepas ini akan dilupuskan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Ladang Tanah Merah, Port Dickson.

Ia merupakan perancangan jangka panjang untuk isu pelupusan sisa pepejal di negeri ini terutama selepas fasiliti Waste Segregation Facility (WSF) dan Waste to Energy (WTE) siap dibina di tapak pelupusan itu.

“Ia merupakan projek terkini pertama di Malaysia dalam usaha kerajaan menaik taraf sistem dan kaedah pelupusan sisa pepejal yang mesra alam.

“Melalui sistem pengurusan sisa pepejal seperti ini dapat meningkatkan perkhidmatan penghantaran sisa pepejal tanpa mengganggu jadual perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam sedia ada.

“Di samping itu juga, guna tanah milik kerajaan negeri dapat dioptimumkan kepada projek lain yang dapat memberi pulangan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, selain Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Ladang Tanah Merah, terdapat dua buah lagi tapak pelupusan yang masih beroperasi iaitu tapak pelupusan sisa pepejal Ulu Maasop, Kuala Pilah dan tapak pelupusan sisa pepejal Sungai Muntoh, Jelebu.

Tambahnya,  kerajaan tiada perancangan untuk menaik taraf tiga tapak pelupusan sedia ada itu atau membina tapak pelupusan baharu menggantikan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Ulu Maasop dan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sg. Muntoh, Jelebu apabila penuh kelak. 

“Bagaimanapun Kerajaan Persekutuan telah merancang membangunkan fasiliti Stesen Pemindahan Sisa Pepejal  yang dicadangkan di sekitar daerah Tampin yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan sisa pepejal sementara.

“Kenderaan kutipan sisa pepejal seperti kompaktor akan menghantar sisa pepejal ke stesen pemindahan. Seterusnya sisa pepejal berkenaan dimasukkan ke dalam kenderaan pengangkut berkapasiti besar dan menghantar sisa pepejal ke tapak pelupusan pada hari yang sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN