Semua fasiliti kesihatan swasta, farmasi perlu letak tanda harga ubat mulai esok

Semua fasiliti kesihatan swasta, farmasi perlu letak tanda harga ubat mulai esok

Mulai esok, semua kemudahan jagaan kesihatan swasta yang menjual, membekalkan atau memberikan ubat-ubatan serta farmasi komuniti perlu meletakkan tanda harga ubat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mulai esok, semua kemudahan jagaan kesihatan swasta yang menjual, membekalkan atau memberikan ubat-ubatan serta farmasi komuniti perlu meletakkan tanda harga ubat.

Perintah itu di bawah pelaksanaan inisiatif Penandaan Harga Ubat di Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta dan Farmasi Komuniti kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Dalam kenyataan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd. Ali memaklumkan, inisiatif ini dilaksanakan sejajar dengan komitmen kerajaan untuk melaksanakan agenda ketelusan harga melalui Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU).

“Ia bertujuan memastikan rakyat mempunyai pilihan bermaklumat dengan mengetahui, membuat perbandingan dan memilih harga terbaik dalam merancang perbelanjaan ubat-ubatan.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan melalui Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723],” katanya hari ini.

Menurut kedua-dua menteri itu, skop penandaan harga ubat merangkumi semua ubat untuk kegunaan manusia termasuk ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi atau tidak, ubat melalui kaunter, ubat tradisional, suplemen kesihatan dan sediaan yang dibancuh.

Jelasnya, penandaan harga ubat hendaklah dilakukan dalam bentuk senarai harga atau tanda harga.

“Ubat-ubatan yang dipamerkan untuk jualan dan boleh diakses oleh pengguna, hendaklah dilabel, teg atau tanda harga pada ubat tersebut.

“Manakala, ubat yang tidak dipamerkan atau diletakkan di belakang kaunter yang tidak boleh diakses atau dilihat oleh pengguna pula hendaklah dipaparkan dalam bentuk senarai harga jualan,” katanya.

Katanya, senarai harga jualan ubat boleh dipaparkan dalam bentuk fizikal di fasiliti kesihatan terlibat, dalam bentuk katalog, papan kenyataan atau skrin elektronik.

Jelas Dzulkefly dan Armizan, fasa awal pemantauan dan penguatkuasaan perintah ini akan menggunakan pendekatan penguatkuasaan pendidikan secara berfasa untuk tempoh tiga bulan.

Katanya, langkah ini diambil untuk memastikan aktiviti penguatkuasaan dijalankan secara berhikmah, ihsan dan berkesan, bagi membolehkan setiap fasiliti kesihatan swasta membuat penyesuaian dan pembaharuan secara berperingkat.

“Pemeriksaan akan dijalankan dari semasa ke semasa dengan pendekatan advokasi bagi memastikan pematuhan terhadap perintah ini.

“Penguatkuasaan penandaan harga ubat-ubatan akan dilaksanakan oleh KKM dengan panduan dan kerjasama KPDN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya