KETIKA Jamie Foxx yang memulakan kerjaya di kelab persembahan komediri berjaya menembus layar sebagai pelakon versatil sehingga memenangi Anugerah Academy dan Golden Globe Awards, ramai lagi yang mengikuti jejak langkah sepertinya. Begitu juga Whoopi Goldberg, Steve Martin, Jim Carrey yang tidak terikat dengan karakter jenaka sahaja.
Ia menunjukkan di Hollywood, menjadi pelawak membuka banyak pintu peluang untuk terjun ke lapangan lakonan dan nyanyian. Bagaimanapun, di Malaysia, Saiful Apek mendedahkan gelaran pelawak adakalanya suatu sumpahan. Tidak ramai penerbit berani untuk meletakkan kepercayaan kepada pelawak sebagai menjadi pelakon yang berkarakter.
Jelas Apek atau Muhammad Saiful Azam, 55, dia pernah terasa hati apabila dimaklumkan oleh seorang pengarah bahawa dirinya ditawarkan untuk terlibat dalam sebuah filem besar dengan genre sejarah.
Bagaimanapun, keterujaan itu terbunuh apabila tidak lama kemudian, pengarah tersebut memaklumkan namanya digugurkan hanya kerana dia seorang pelawak.
“Memang saya percaya tentang rezeki, cuma alasan kerana saya pelawak itu saya tidak boleh terima.
“Kalau tengok Allahyarham Tan Sri P Ramlee sendiri, Harun Salim Bachik dan Jalil Hamid. Mereka adalah pelawak tapi berjaya keluar daripada zon itu dengan menjadi pelakon serius.
“Jadi, tidak bolehlah kata filem serius melibatkan sejarah dan fakta tidak boleh ambil pelawak kerana mereka terikat dengan jenaka. Apa masalahnya?” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, jelas Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular ke-17 itu lagi, pengarah juga seharusnya lebih teliti dan hanya memberikan tawaran sekiranya perkara tersebut sudahpun diputuskan sebulat suara oleh pihak produksi.
“Sepatutnya jangan tawarkan dulu, bincang dulu dengan panel. Kalau tidak jadi, saya tidaklah sampai terasa.Tapi jika Allah mahu memberi, tiada tangan boleh menghalang begitu juga sebaliknya,” jelasnya.
Sudah ada perubahan
Bagaimanapun sejak tahun lalu, Apek mula menyedari ada perubahan yang sedang berlaku dalam industri perfileman negara apabila lebih ramai penerbit sudah mahu meneroka bakat lakonan seseorang pelawak.
“Saya sendiri tidak tahu dari mana punca saya dapat tawaran yang mula agak berbeza. Contoh macam iklan baru-baru ini saya berlakon sebagai bapa dan ia cerita sedih. Sebelum itu juga dalam naskhah Abang Balik, ia juga bukan karakter komedi.
“Saya melihat industri kita sudah bergerak ke hadapan dan semakin matang. Dalam filem 6 Jilake, saya berlakon sebagai penjahat dan saya puas. Ia membuka banyak ruang untuk saya menjadi pelakon yang lebih besar,” jelasnya.
Dalam perkembangan terkini, Apek melakonkan watak Nagasari, iaitu ketua kumpulan penyamun yang digeruni bernama 6 Jilake. Ia menceritakan bagaimana penduduk Kampung Ketayap mempertahankan tempat tinggal mereka daripada jatuh ke tangan Belanda.
Filem arahan Aziz M. Osman itu bakal menemui penonton pada 24 April ini.