KUALA LUMPUR: Bekas penyampai radio, Halim Othman, menyimpan harapan agar hubungannya dengan anak, Myra Natasha akan kembali jernih.
Ujar Halim atau Abdul Halim Othman, 60, dia ada menghantar pesanan kepada anaknya menyampaikan hasrat untuk bertemu, namun belum menerima sebarang balasan sehingga kini.
“Sudah lebih satu tahun saya tak berjumpa dengan dia, tetapi saya mahu berikan dia ruang untuk bertenang.
“Ketika ini kami tak adalah berhubung cuma saya ada hantar mesej kepada dia dengan harapan kita akan berjumpa semula.
“Tetapi dia masih belum membalas mesej saya,” katanya.
Halim berkata demikian ketika mengulas mengenai status terkini hubungan dengan anak kandungnya itu.
Ketika ditanya mengenai pembedahan yang perlu dijalani Myra selepas mengalami kecederaan patah jari kaki kelingking baru-baru ini, Halim bagaimanapun tidak mengetahui mengenai perkara tersebut.
“Mengenai itu saya tak tahu sebab dia tak maklumkan kepada saya,” ceritanya ketika ditemui di Aurum Theatre, The Exchange TRX, Kuala Lumpur pada Rabu.
Terdahulu, kontroversi membabitkan Halim Othman meraih perhatian ramai apabila anaknya, Myra Natasha mendedahkan dirinya merupakan anak tidak sah taraf.
Myra sekali gus menafikan kenyataan Halim sebelum ini mengatakan dia dan ibunya pernah berkahwin di Thailand.
Tambah Myra, tujuan pendedahan itu dilakukan ialah untuk membela dan membetulkan nama baik keluarganya. – UTUSAN