PETALING JAYA : Saman bernilai sebanyak RM598,970 berjaya dikutip Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena pemberian diskaun pada jamuan raya agensi itu di Stadium Titiwangsa pada Isnin lalu.
Menerusi program itu, seramai 950 hadir untuk membayar saman atas kesalahan trafik membabitkan 5,362 saman.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, JSPT menyambut baik cadangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail supaya penggunaan MyDigital ID digunakan secara meluas dalam sebarang urusan pembayaran saman trafik
Terdahulu, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan penggunaan MyDigital ID digunakan secara meluas dalam sebarang urusan pembayaran saman trafik.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun penggunaan MyDigital ID tidak diwajibkan namun ia termasuk dalam dasar kerajaan malah kerajaan bersetuju melakukan pindaan Akta Pendaftaran Negara 1959 bagi membolehkan penggunaan MyDigital ID.
Menurut beliau, perkara itu bagi memastikan peningkatan penggunaan aplikasi itu pada masa akan datang. – UTUSAN