TAPAH: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54, disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai calon BN bagi mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning.
Bekas Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh itu ditentang calon PN, Abdul Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani K.S., 40.
Pengumuman itu dilakukan Pegawai Pengurus SPR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning, Ahmad Redhauddin Ahmad Shukori di pusat penamaan calon di Dewan Merdeka Tapah di sini.
Ketiga-tiga calon menyerahkan borang pencalonan masing-masing kepada Ahmad Redhauddin dengan Abdul Muhaimin menjadi calon pertama menyerahkan borang pada pukul 9.01 pagi diikuti Mohamad Yusri (9.06 pagi) dan Bawani (9.15 pagi).
Terdahulu, Mohamad Yusri tiba di pusat penamaan calon diiringi penyokong serta Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang.
Abdul Muhaimin yang juga Yang Dipertua Pas Tapah pula diiringi Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Ishsam, 59, yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri ketika bersalaman dengan pemain di tepi padang sempena Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, George Town.
Beliau yang pertama kali bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022 berjaya memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi. – UTUSAN