Rumpai laut telah dikenalpasti sebagai salah satu komoditi pertanian bernilai tinggi dalam bidang keberhasilan utama ekonomi negara.
Kebanyakan ladang rumpai laut di Malaysia tertumpu di Sabah yang termasuk dalam kawasan segi tiga karang dan telah ditetapkan sebagai industri rumpai laut.
Namun, penggunaan rumpai laut dalam industri makanan negara masih lagi terhad, meskipun ia mudah diperoleh tanpa perlu diimport.
Rumpai laut yang didapati di Sabah iaitu Kappaphcus alverazii mempunyai kandungan nutrisi yang mencukupi dan juga dikategorikan sebagai makanan berfungsi.
Peningkatan populasi global dan permintaan terhadap protein yang semakin meningkat menjadikan rumpai laut antara alternatif kepada protein selain daripada protein haiwan.
Justeru, Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Makanan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), membangunkan produk nugget dan bebola tanpa daging daripada sumber laut itu.
Timbalan Pengarah, Dr. Aida Hamimi Ibrahim berkata, dengan memanfaatkan rumpai laut dalam resipi inovatif dapat mencipta hidangan menarik, bagi memenuhi kepelbagaian selera pengguna.
“Walaupun rumpai laut sendiri tidak mampu menandingi protein haiwan yang tinggi, ia boleh digunakan bersama dengan protein tumbuhan lain atau melalui proses fermentasi untuk menghasilkan profil protein yang lengkap.
“Produk protein berasaskan rumpai laut boleh membantu mengurangkan kebergantungan kepada daging yang dikaitkan dengan pengeluaran gas rumah hijau yang tinggi dan penggunaan air,” katanya kepada Utusan Malaysia.
SUMBER MAKANAN LESTARI
Nugget dan bebola daging berasaskan rumpai laut yang diperkenalkan oleh Mardi, dihasilkan daripada sumber yang diperoleh secara lestari dan bahan yang hanya berasaskan tumbuhan.
Jelasnya, berbeza dengan tanaman di darat, rumpai laut tidak memerlukan air tawar, baja atau racun perosak, menjadikannya pilihan mesra alam bagi pengeluaran makanan.
“Snek alternatif ini, mengandungi nutrien yang penting seperti serat, protein, karbohidrat dan mineral.
“Inovasi terbaharu ini dijamin dapat membantu untuk mengekalkan tenaga dan memenuhi sebahagian daripada keperluan zat pemakanan harian,” katanya.
Justeru, dengan mempromosikan rumpai laut sebagai bahan utama sebagai alternatif protein berasaskan haiwan, ia dapat menyumbang kepada rantaian makanan yang lebih lestari sambil memenuhi keperluan pemakanan populasi yang semakin meningkat.
Penglibatan komuniti tempatan dalam penanaman rumpai laut yang lestari juga dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan selain mempromosikan pembangunan ekonomi.
Paling penting, mampu memupuk penjagaan alam sekitar yang lebih mampan.
Makanan berasaskan rumpai laut mempunyai potensi yang besar di masa hadapan bagi memenuhi keperluan dan diet makanan.
RASA SEMULA JADI
Menurut Dr. Aida Hamimi, rumpai laut memberi rasa umami, menjadikannya berbeza daripada makanan lain.
Walaupun tumbuhan tersebut berasal dari laut, rumpai laut yang digunakan dalam produk inovasi Mardi itu telah diproses untuk menghasilkan aroma yang lebih lembut dan menyenangkan.
Rumpai laut juga mempunyai rasa masin semula jadi dan sesuai dijadikan pengganti sebahagian garam dalam pelbagai resipi.
Mengulas mengenai rasa nugget dan bebola inovasi itu, katanya, ia memiliki rasa kenyal seakan-akan produk berasaskan daging.-UTUSAN











