Roger Ng dipanggil saksi kes 1MDB - peguam Najib

Roger Ng dipanggil saksi kes 1MDB – peguam Najib

ROGER NG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa akan dibawa ke Mahkamah Tinggi sebagai saksi dalam kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam bela Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, individu yang disabitkan kesalahan di New York berhubung skandal kewangan 1MDB dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun itu akan ditemubual pihaknya terlebih dulu jika dia bersedia berbuat demikian.

“Mungkin beliau (Roger Ng) boleh menyatakan yang Najib tidak bersalah, kita tidak tahu.

“Bagi kes kami (pembelaan) ialah mengapa Najib seorang sahaja yang berada dalam kandang tertuduh?

“Sedangkan mereka daripada pihak bank, Bank Negara Malaysia (BNM), dan bekas pegawai tertinggi 1MDB hanya dipanggil sebagai saksi, itu sahaja, tidak lebih dari itu,” katanya dalam sidang akhbar di Istana Kehakiman Putrajaya hari ini.

Pada prosiding minggu lalu, Muhammad Shafee memaklumkan kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa pihak pembelaan akan menemu bual Roger Ng terlebih dulu sebelum memutuskan sama ada beliau akan dipanggil sebagai saksi, jika perlu.

Keterangan Roger Ng boleh memberikan bukti penting dalam merungkai skandal kewangan 1MDB yang menyaksikan berbilion-bilion diselewengkan daripada syarikat pelaburan strategik negara itu.

Pembelaan boleh menemubualnya selama setengah jam atau sejam jika dibenarkan Roger Ng dan akan terus memanggilnya sebagai saksi.

Pembelaan sebelum ini turut memohon untuk memanggil Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebagai saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.

Seorang lagi peguam Najib, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berkata, pihaknya perlu mendapatkan keterangan Ketua Polis Negara untuk membolehkan mereka menemubual Chong Hwa.

Menurut Wan Aiman, pasukan pembelaan telah membuat beberapa percubaan untuk menjejaki Roger Ng selepas Razarudin mengeluarkan beberapa kenyataan berhubung keberadaan lelaki terbabit.

Beliau berkata, pasukan pembelaan telah menulis surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan polis bagi memohon proses menemubual Roger Ng dipercepatkan.

Katanya, setakat ini, pembelaan hanya menerima maklum balas dari AGC manakala SPRM menyatakan lelaki itu bukan di bawah bidang kuasa mereka, sebaliknya dalam kawalan polis.

Roger Ng dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat di Brooklyn, New York, selepas didapati bersalah membantu menggelapkan berbilion dolar daripada 1MDB.

Ketua Hakim Margo Brodie memerintahkan Roger Ng diserahkan kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) untuk dikembalikan di bawah tahanan pihak berkuasa Malaysia.

Menurut surat daripada Jabatan Kehakiman AS kepada Brodie, sebaik siasatan di Malaysia selesai, lelaki itu dikehendaki dibawa kembali ke AS untuk menjalani hukumannya.

Prosiding bela diri Najib di hadapan Sequerah bersambung pada sesi petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN