KULAI: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan polis kerana terlibat dalam kegiatan menyunting gambar lucah menggunakan wajah individu lain dan mengedarkannya dalam media sosial untuk dijual kepada orang awam.
Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk M. Kumar berkata, kes itu terbongkar selepas seorang remaja berusia 18 tahun membuat laporan polis apabila mendapati wajahnya digunakan dalam gambar lucah yang tular dalam media sosial.
“Pengadu telah membuat laporan polis Khamis lalu setelah mendapati gambar lucah yang telah disunting menggunakan gambar mukanya telah tular dalam media sosial. Pengadu turut memaklumkan gambar-gambar lucah itu turut cuba dijual secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai berjaya menahan suspek kira-kira pukul 5 petang semalam.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan untuk menyunting dan memuat naik gambar-gambar lucah mangsa ke dalam media sosial.
Suspek yang masih bersekolah menjual gambar yang telah disunting itu dengan harga RM2 sekeping.
“Hasil soal siasat awal mendapati suspek telah menyunting gambar-gambar tersebut dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) berdasarkan gambar-gambar yang diperoleh dari akaun media sosial mangsa,” katanya sambil memberitahu suspek kini direman selama empat hari bermula hari bagi membantu siasatan lanjut.
Setakat ini, sebanyak lapan laporan polis telah diterima daripada mangsa lain dan
kes disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.