PETALING JAYA: Pelakon, Rebecca Nur Al-Islam, 38, menafikan dakwaan mengatakan dia mempunyai hutang berjumlah RM1.5 juta seperti yang tular di media sosial.
Menerusi hantaran dalam Instagram miliknya hari ini, Rebecca menegaskan dia tidak pernah meminjam atau tahu-menahu mengenai wang tersebut.
“Saya sumpah demi nama arwah ayah dan ibu saya, saya tidak pernah berhutang atau pinjam atau tahu-menahu mengenai RM1.5 juta yang diperkatakan,” katanya.
Tambahnya, kenyataannya sebelum ini hanyalah reaksi spontan selepas menerima satu video yang didakwa daripada pihak tertentu.
“Silap saya hanya kerana hari itu saya terbawa-bawa emosi selepas ditunjukkan video daripada pihak sana. Kemudian saya buat video balas bagi menjawab dakwaan kononnya saya cari publisiti murahan.
“Saya tahu saya salah kerana memarahi pihak sana dengan kata-kata yang saya gunakan,” katanya.
Sebelum ini, nama Rebecca dikaitkan dengan beberapa kenyataan yang dibuat di media sosial yang mendakwa menumpang populariti usahawan, Rozita Ibrahim yang kini bergelar kakak iparnya.
Rebecca bagaimanapun tegas menafikan dakwaan yang dibuat serta mempertahankan dirinya menerusi beberapa hantaran balas di media sosial. -UTUSAN