MELAKA: Kerajaan negeri mewartakan Pulau Konet di perairan Telok Gong, Kuala Linggi, di sini sebagai sebahagian kawasan Koridor Tenaga Negeri Melaka (MEC).
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pewartaan pulau milik Perbadanan Melaka (MCorp) itu dicadangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 25 Mei 2022 dan disahkan pada 31 Mei tahun yang sama.
Beliau berkata, antara pembangunan yang dicadang dilaksanakan di pulau tersebut adalah tambakan tanah membabitkan keluasan 202 hektar.
“Tambakan ini menjadi antara komponen utama kepada pembangunan MEC. Pembangunan ini memfokuskan empat komponen iaitu pembangunan industri maritim dan perkapalan, industri sokongan minyak dan gas, pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta kemudahan infrastruktur yang menyokong pertumbuhan industri,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) mengenai cadangan pembangunan Pulau Konet sebagai produk pelancongan untuk kawasan rekreasi laut dan pantai.
Tambah Ab. Rauf, kerajaan negeri tidak bercadang membangunkan pulau tersebut sebagai kawasan pelancongan rekreasi dan laut.
Menurutnya, kawasan tersebut mempunyai kepadatan terumbu karang yang rendah dan tidak banyak kerana bahagian dasar yang berlumpur.
“Selain itu, tiada spesies ikan hiasan terumbu karang dikesan di kawasan berkenaan. Jarak penglihatan dalam air adalah kosong sekali gus tidak sesuai untuk aktiviti menyelam,” ujarnya. – UTUSAN