Proses penamaan calon berjalan lancar - polis Perak - Utusan Malaysia

Proses penamaan calon berjalan lancar – polis Perak

PENYOKONG BN mengiringi calon mereka ke pusat penamaan PRK Ayer Kuning di Dewan Merdeka Tapah hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang diadakan di Dewan Merdeka Tapah hari ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sekitar 2,700 penyokong parti-parti yang bertanding hadir seawal pagi untuk memberi sokongan kepada calon yang bertanding.

Katanya, kesemua penyokong dilihat mematuhi peraturan dan undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tanpa mencetuskan sebarang provokasi.

“Sepanjang proses penamaan calon ketiga-tiga parti yang bertanding telah menunjukkan sikap yang profesional dan memberi kerjasama baik kepada pasukan keselamatan dalam mengawal selia keselamatan dan ketenteraman awam.

“Sehingga tamat tempoh pendaftaran calon, tiada isu tidak diingini berlaku dan jika ada pun hanya isu teknikal dalam dewan dengan ia telah diselesaikan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan proses berjalan lancar,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon bagi PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka Tapah, di sini hari ini.

Menurut beliau, setakat ini, lima permohonan permit untuk kempen diterima daripada parti yang bertanding dan kesemua permohonan itu telah diluluskan oleh Ketua Polis Daerah Tapah.

Katanya, pasukan cawangan khas dan jenayah akan sentiasa bergerak dan membuat pemantauan sepanjang tempoh kempen berlangsung termasuk menasihatkan ceramah dihentikan sekiranya melebihi masa yang dibenarkan.

“Saya sarankan kepada calon yang bertanding untuk profesional dan penyokong parti pula diminta sentiasa beri kerjasama kepada polis. Elakkan menyentuh isu sensitif terutama berkait agama, kaum dan institusi Diraja (3R),” katanya.

Tambah beliau, seramai 1,114 pegawai dan anggota polis akan memantau keselamatan dan keamanan sepanjang proses PRK DUN Ayer Kuning bermula hari ini sehingga proses pengundian pada 26 April ini.

“Pada hari ini, seramai 778 anggota polis ditempatkan di lokasi sekitar pusat penamaan calon bagi mengawal keselamatan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya