PRK Ayer Kuning: Jangan takut keluar mengundi - Utusan Malaysia

PRK Ayer Kuning: Jangan takut keluar mengundi

NOOR HISHAM NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Orang ramai tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning esok.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya menjamin keselamatan dan ketenteraman awam dalam memastikan proses pilihan raya berjalan lancar.

Malah katanya, persediaan rapi dalam pelbagai aspek telah dijalankan Kontinjen Perak sejak pemakluman kekosongan kerusi DUN itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Februari lalu.

“Pada pilihan raya kali ini, kita menggerakkan semua elemen kepolisan untuk mengawal situasi dan menjaga keselamatan sepanjang proses bermula dari penamaan calon hingga hari mengundi esok.

“Bagi kawalan esok, kita telah mengatur gerak seramai 1,114 anggota merangkumi semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan saluran pembuangan undi selain tugasan jaga aman aman dan kawalan lalu lintas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Noor Hisam berkata, orang awam tidak perlu khuatir kerana keselamatan mereka terjamin namun pada masa sama dinasihatkan keluar awal berikutan keadaan cuaca tidak menentu di sebelah petang.

Beliau berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang cubaan mencetuskan provokasi dan tindakan tegas akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang.

“Semua pihak juga dinasihatkan agar tidak mengadakan perhimpunan atau berarak untuk meraikan kemenangan calon pada pilihan raya kecil ini.

“Jangan menimbulkan provokasi dan terlalu ghairah dengan kemenangan. Sentiasa amalkan budaya saling hormat menghormati dan raikan kemenangan dengan berhemah dan profesional,” katanya.

Pilihan raya DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

Pada pilihan raya kali ini, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, daripada Barisan Nasional (BN) menghadapi saingan tiga penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek, 44, dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya