TAPAH: Polis mengingatkan semua pihak berkepentingan termasuk pemimpin parti politik agar berhati-hati mengeluarkan kenyataan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berlangsung.
Jurucakap polis, Senior Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, pemantauan akan dilakukan terhadap kenyataan dan ucapan yang dikeluarkan ketika kempen termasuk yang dimuat naik melalui media sosial.
“Semua medium media sosial kita akan pantau. Jika terkesan ada isu sensitif, kita akan ambil tindakan.
“Bila timbul isu yang mengancam ketenteraman awam, maka laporan akan dibuat pihak tertentu dan polis akan siasat. Kita akan terima semua laporan yang dibuat dan siasatan akan dijalankan berdasarkan laporan yang diterima,” katanya dalam sidang akhbar harian PRK DUN Ayer Kuning di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini hari ini.
Menurut beliau, semua pihak khususnya calon dan penyokong parti juga dinasihatkan mematuhi peraturan dan undang-undang serta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam memastikan kelancaran sepanjang PRK selain bagi tujuan keselamatan.
Katanya, elakkan melakukan provokasi termasuk menyentuh isu sensitif terutama berkait agama, kaum dan institusi Diraja (3R).
“Berkempenlah secara berhemah dan profesional dengan tidak melakukan provokasi terutama dalam isu-isu sensitif dan 3R yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, tiada insiden membabitkan kes khianat seperti merosakkan poster dan bendera parti lawan dilaporkan kepada polis setakat ini.
Katanya, sehingga kini, sebanyak lima kempen telah dijalankan oleh parti bertanding selain dua permohonan permit untuk ceramah telah diluluskan.
“Setakat ini tiada permohonan ditolak. Kita tidak menghalang kempen dan ceramah dijalankan jika mereka mohon permit dan memenuhi syarat, kita akan luluskan.
“Kita pun akan kaji juga beberapa perkara termasuk tempat (kempen atau ceramah diadakan), janganlah sebelah-sebelah. Kita akan pastikan tidak ada pertembungan (antara dua parti),” katanya. – UTUSAN