PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyediakan enam buah van Rapid KL On-Demand secara percuma bagi membantu mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Perkhidmatan percuma itu bermula hari ini sehingga keadaan kembali stabil, sebagai usaha membantu pergerakan mangsa yang kini ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Masjid Putra Heights.
Menurut kenyataan Prasarana, perkhidmatan itu akan melibatkan laluan dari PPS ke kawasan perumahan sekitar Putra Heights, Kampung Puchong Tengah dan Kampung Kuala Sungai Baru.
“Prasarana melalui program Prasarana Prihatin mengambil inisiatif ini bagi memudahkan mangsa mendapatkan keperluan asas dan dokumen penting mereka dari kediaman masing-masing sementara mereka ditempatkan di PPS,” kata kenyataan itu.
Jelasnya, selain kapten bas, pegawai pengawal trafik kanan dan polis bantuan turut dikerahkan ke lokasi bagi memastikan kelancaran operasi dan keselamatan komuniti yang terjejas.
Tambahnya, Prasarana turut bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling bagi menyelaras keperluan mobiliti mangsa agar mereka dapat dibantu dengan sebaiknya.
“Sebagai penyedia pengangkutan awam utama negara, Prasarana bukan sahaja menumpukan kepada perkhidmatan harian rakyat, tetapi juga berperanan dalam membantu komuniti yang memerlukan.
“Kami berharap inisiatif berkenaan dapat meringankan beban mangsa yang terkesan akibat insiden ini,” tambah kenyataan itu. – UTUSAN