Polo air kembali jadi sasaran emas Melaka 

Polo air kembali jadi sasaran emas Melaka 

VP. Shanmugam bersama sebahagian para peserta selepas merasmikan Kejohanan Sukan Akuatik MSN Melaka 2025 di Pusat Akuatik Hang Jebat, Krubong, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sukan polo air kembali menggegarkan arena sukan Melaka selepas sekian lama menyepi, dengan harapan tinggi untuk mencipta semula kegemilangan yang pernah dikecapi termasuk kejayaan meraih pingat emas dalam acara polo air lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Kuala Lumpur.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk VP. Shanmugam berkata, polo air mula diberi perhatian semula selepas kali terakhir negeri ini mengambil bahagian adalah pada 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

“Kita pernah jadi juara, buktinya kita memenangi emas dalam kategori lelaki semasa Sukma Ke-14. Tapi sudah enam tahun berlalu sejak penyertaan terakhir, sukan ini seakan hilang begitu sahaja. Kini kita mahu cari balik, bentuk balik pasukan dan tampil lebih bersedia menjelang Sukma 2026 nanti.

“Setakat ini, penyertaan awal datang dari Kolej Yayasan Saad (KYS), namun kita perlukan lebih banyak penglibatan sekolah dan pelajar. Kita akan bentuk satu pasukan khas bagi melatih atlet-atlet muda ini,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Sukan Akuatik Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka 2025 di Pusat Akuatik Hang Jebat, Krubong di sini.

Tambah Shanmugam, kerajaan negeri komited memperbaiki beberapa kemudahan sukan itu bagi memastikan kontinjen akuatik Melaka mampu meraih lebih banyak pingat berbanding edisi lalu.

“Kita sudah ada kemudahan, cuma sekarang fokus kita adalah kepada mengenal pasti dan melatih bakat baharu dalam sukan polo air serta disiplin akuatik lain,” jelasnya.

Seramai 550 peserta mengambil bahagian dalam kejohanan dari 15 hingga 17 April ini anjuran Jabatan Pendidikan Negeri dan menyaksikan Sekolah Kebangsaan (SK) Cheng sebagai sekolah pengelola kejohanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN