Polis rampas pistol berkait kes ADUN Hulu Kinta - Utusan Malaysia

Polis rampas pistol berkait kes ADUN Hulu Kinta

RAJA Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah menyertai Program Ujian Kemahiran Menembak Antara Agensi sempena Hari Polis Ke-218 di Lapang Sasar Kontinjen Perak, di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis telah merampas sepucuk pistol jenis Kimber Micro 9 ESV milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, senjata api itu dirampas pada 19 April lalu setelah diserahkan wakil rakyat terbabit untuk tujuan siasatan.

“Senjata itu telah dirampas dan disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh. Siasatan kes ini sedang berjalan, jadi kita tunggulah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Ujian Kemahiran Menembak Antara Agensi di Lapang Sasar Kontinjen Perak, di sini hari ini.

Dalam program yang diadakan sempena Hari Polis Ke-218 itu, Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah turut berkenan berangkat menyertai acara berkenaan.

Mengulas lanjut Noor Hisam berkata, pihaknya telah menghantar permohonan kepada Ketua Lesen Pasukan di Bukit Aman bagi pembatalan permit pemilikan senjata api oleh Muhamad Arafat.

Katanya, permohonan tersebut dibuat sehari sebelum wakil rakyat itu menyerahkan senjata berkenaan kepada pihak polis.

“Pembatalan permit senjata api itu dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi individu yang terlibat dengan mana-mana kes.

“Bukan dibuat kerana kita pilih kasih tetapi berdasarkan SOP di mana semua pembatalan di bawah bidang kuasa Ketua Polis Negara,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya sedang menunggu arahan lanjut dari pejabat Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes ugutan jenayah oleh Muhamad Arafat dalam satu kejadian di Tanjung Rambutan, 13 April lalu.

“Seramai 13 individu termasuk ADUN terbabit dan pengadu telah dipanggil untuk direkod keterangan. Setakat ini kita masih tunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Pada 13 April lalu, tular video berdurasi satu minit lima saat yang memaparkan seorang lelaki dikenali sebagai Kalai mendakwa Muhamad Arafat menunjukkan pistol kepada calon dan ahli-ahli yang sedang merayu undi.

Lelaki yang mendakwa sebagai calon timbalan ketua cabang Tambun itu berkata, kejadian berkenaan disaksikan ramai dan menggesa tindakan tegas diambil terhadap Muhamad Arafat.

Bagaimanapun Muhamad Arafat melalui satu kenyataan menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan sebagai fitnah setiap kali pemilihan parti berlangsung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya