JOHOR BAHRU: Polis Johor mengesahkan menahan seorang lelaki dipercayai bekas suami kepada pempengaruh dikenali sebagai Kim Seri.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung penahanan individu tersebut dalam waktu terdekat.
“Polis mengesahkan menahan bekas suami ‘influencer’ Kim Seri untuk siasatan.
“Kenyataan media akan menyusul,” katanya ringkas ketika dihubungi pemberita hari ini.
Baru-baru ini tular di media sosial seorang individu mendakwa sebagai bekas kakak ipar pempengaruh itu memaklumkan adik lelakinya kini sedang dalam tahanan polis Johor.
Wanita tersebut memaklumkan adik lelakinya sedang berdepan 47 kes dipercayai berkaitan dengan pempengaruh tersebut yang kini berada di Korea Selatan.
Pada 19 Disember tahun lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata, polis telah menerima 24 laporan berkait pempengaruh Kim Seri dalam penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan setakat ini.
Menurut beliau, kerugian mangsa terlibat dipercayai mencecah RM454,450, sehubungan itu pihaknya menjalankan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Sebahagian daripada kes dirujuk kepada Tribunal Tuntutan Pengguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599),” ujarnya. – UTUSAN