PN gesa tutup ladang babi haram di Ayer Kuning - Utusan Malaysia

PN gesa tutup ladang babi haram di Ayer Kuning

IDRIS Ahmad (tengah) menunjukkan peta lokasi ladang ternakan babi haram yang didakwa terletak di Kampung Tanjung Keramat di Tapah. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan negeri menutup ladang babi haram berhampiran Kampung Tanjung Keramat di sini ke lokasi lain yang lebih sesuai.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad turut menyarankan kerajaan negeri supaya mewajibkan penggunaan sistem penternakan babi moden yang tidak mengeluarkan bau dan mengamalkan konsep sifar pelepasan ke dalam sungai.

“PN mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri meluluskan lesen pengoperasian ladang babi di kawasan majoriti penduduk Melayu Islam terutama di Kampung Tanjung Keramat.

“Berdasarkan maklumat di laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak, daerah Batang Padang dan Muallim sahaja terdapat 30 ladang babi yang diluluskan serta berlesen.

“Jika dicampur ladang haram, jumlah sebenar mungkin lebih tinggi,” katanya pada Sidang Media Harian PN sempena PRK DUN Ayer Kuning di sini hari ini.

Katanya, kewujudan ladang-ladang tersebut menyebabkan ramai penduduk kampung berdepan dengan pelbagai masalah termasuk risiko penyakit.

“Lebih mendukacitakan, penduduk Ayer Kuning terpaksa berdepan bau busuk setiap hari.

“Risiko penyakit berjangkit dan ancaman kesihatan akibat sisa daripada ladang-ladang ini juga sentiasa menganggu penduduk setempat,” katanya.

Bagaimanapun Idris berkata, PN yakin tindakan gabungan parti itu yang membawa isu ladang ternakan babi di negeri ini tidak akan menjejaskan sokongan pengundi bukan Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

“Isu itu bersifat sejagat dan universal tanpa mengira sama ada ladang babi halal atau haram. Ini soal alam sekitar bukan soal kaum Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

“Jadi dengan rakyat yang telah dididik dengan Rukun Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, semua isu rakyat kita bawa,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya