PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sumbangan kepada sebuah keluarga yang sedang hidup dalam kesusahan di Pahang.
Penyerahan sumbangan dan bakul makanan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Anwar, Ahmad Farhan Fauzi di rumah keluarga tersebut di Taman Cenderawasih, Kuantan.
Ahmad Farhan berkata, Azmi Mamat yang merupakan tonggak keluarga itu menggalas tanggungjawab besar dalam keadaan yang penuh ujian.
Menurutnya, Azmi kini bekerja sebagai pengutip besi demi menyara keluarga di sekitar Indera Mahkota.
“Baru-baru ini, isteri dan anaknya cedera akibat kemalangan. Isterinya mengalami patah tulang rusuk manakala anaknya patah bahu dan kaki kanan. Kini, keadaan mereka masih dalam pemantauan doktor.
“Dalam serba kekurangan, mereka masih cekal membesarkan enam orang anak. Lima masih bersekolah dan anak sulungnya melanjutkan pengajian di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS),” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Ahmad Farhan berkata, penyerahan bantuan tersebut merupakan tanda prihatin Perdana Menteri pada keluarga tersebut.
“Semoga bantuan ini dapat memberi kelegaan kepada Encik Azmi sekeluarga. Moga Allah SWT terus memberkati dan mempermudahkan urusan mereka sekeluarga,” katanya. – UTUSAN