KLANG: Bidaan nombor pendaftaran istimewa siri A A merekodkan kutipan hasil keseluruhan sebanyak RM24.02 juta dengan nombor yang paling tinggi dibida ialah A9A dengan nilai RM902,020.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bidaan yang dibuka sejak 19 April lalu itu menerima penyertaan seramai 24,470 orang dalam tempoh lima hari dan sebanyak 6,746 pembida telah berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.
“Berdasarkan rekod, selain A9A, bidaan lain yang tinggi termasuk A11A (RM703,007), A8A (RM700,000), A7A (RM502,000) dan A2A (RM490,888).
“Lima nombor yang paling banyak dibida adalah A51A iaitu 40 pembida, A101A (31) dan A8118A (29) selain A1881A serta A19A iaitu 27 pembida,” katanya selepas melancarkan program Latihan Pemandu Pengangkut Kereta bagi Pengendalian Kenderaan Elektrik (EV) di Terminal Pelayaran Pelabuhan Klang (PKCT), di sini semalam.
Kata Anthony Loke, hasil bidaan siri A A itu merupakan usaha Kementerian Pengangkutan dalam merealisasikan hasrat hasil kerajaan melaksanakan inisiatif tersebut.
“Ia termasuk pelaksanaan program MyLESEN, Program Pertukaran Topi Keledar, Program FlySISWA dan pelbagai inisiatif MOT untuk rakyat.
“Separuh daripada hasil bidaan iaitu RM12 juta akan dikembalikan kepada kementerian bagi melaksanakan inisiatif kepada rakyat terutama melibatkan keselamatan jalan raya,” ujarnya.
Katanya, sambutan pembida bagi nombor siri itu amat luar biasa dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terus berusaha memantapkan perkhidmatan terbaik termasuk digital.-UTUSAN










