PUTRAJAYA: Pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) dijangka dibentangkan di Parlimen sama ada pada sidang Dewan Rakyat akan datang atau selewat-lewatnya Oktober depan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fadmi Fadzil berkata, perkara itu dikongsi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri hari ini juga turut dimaklumkan mengenai statistik perhimpunan aman yang diluluskan dari tahun 2022 hingga 2024.
“Dalam tempoh itu, sebenarnya jumlah permohonan yang diluluskan untuk semua perhimpunan aman adalah pada kadar 99 peratus.
“Jadi hampir semua permohonan untuk perhimpunan aman telah diluluskan.Jadi ini satu angka yang bila kita teliti statistiknya adalah memberangsangkan,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet hari ini.
Katanya, kerajaan percaya dengan pindaan yang akan dibawa ke Parlimen nanti akan membolehkan hak rakyat untuk berhimpun dengan aman diperkukuh.
Kerajaan sebelum ini bersetuju untuk meminda Akta 736 dengan mengenepikan keperluan untuk mendapat kelulusan pemilik atau penghuni perhimpunan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, dengan pindaan itu, penganjur hanya perlu menghantar notis pemberitahuan atau pemakluman kepada polis lima hari sebelum perhimpunan itu diadakan. – UTUSAN