PGA rampas kambing, lembu seludup RM273,500 

PGA rampas kambing, lembu seludup RM273,500 

KAMBING seludup yang dirampas Batalion 8 PGA dalam serbuan berasingan di Rantau Panjang dan Tanah Merah, Kelantan.-IHSAN PGA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas kambing dan lembu yang dipercayai diseludup dari Thailand bernilai RM273,500 dalam serbuan berasingan di Rantau Panjang serta Tanah Merah dekat sini semalam.

Serbuan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu, PGA turut menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berkaitan rampasan haiwan seludup itu.

Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, rampasan kambing itu dilakukan pada pukul 8.45 malam selepas anggota bertugas mengesan sebuah trak pikap yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Felda Kemahang 3, Tanah Merah.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas trak pikap itu telah menjumpai 25 ekor kambing bernilai RM177,500.

“Semasa ditahan pemandu berusia 33 tahun gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan kambing tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, sekitar pukul 11 malam anggota bertugas telah menahan sebuah lori di Kampung Lubok, Rantau Panjang yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pemeriksaan telah menjumpai 10 ekor lembu yang dianggarkan bernilai RM96,000 yang di syaki diseludup dari Thailand. 

“Pemandu berusia 43 tahun yang ditahan semasa pemeriksaan itu gagal menunjukkan sebarang dokumen sah berkaitan lembu tersebut.  

“Kedua-dua kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953. Kesemua haiwan rampasan itu telah dibawa ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN