KUCHING: Bekalan tenaga negara tidak terjejas setakat ini susulan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Selangor kelmarin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bekalan tenaga elektrik masih stabil walaupun bekalan gas untuk janakuasa elektrik minggu ini berada dalam keadaan kritikal.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, Petronas sedang mencari kaedah untuk mendapatkan bekalan gas apabila saluran sedia ada ditutup.
“Jika minggu depan gas tidak dapat dibekalkan kepada stesen janakuasa terbabit, Petronas akan mencari jalan bagaimana mendapatkan bekalan gas.
“Kita juga akan melaksanakan langkah seterusnya jika bekalan gas tidak dapat disalurkan iaitu menghidupkan janakuasa lama menggunakan bahan api diesel atau arang batu untuk memastikan bekalan tenaga elektrik di Lembah Klang khususnya tidak terjejas,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Petra Jaya di Pusat Konvensyen SIDB, semalam.
Mengenai kabel elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB), Fadillah berkata, ia tidak terjejas setakat ini tetapi pihaknya bersama Petronas mengadakan audit integriti terhadap kabel elektrik di kawasan terjejas
“TNB juga sedang memantau untuk memastikan seluruh infrastruktur tidak terjejas.
“Kabel di rumah yang terjejas kini dalam siasatan manakala bentuk bantuan akan dimuktamadkan oleh Petronas sama ada menerusi insurans dan ia bergantung kepada keseluruhan siasatan,” katanya.-UTUSAN











