Pernah juara di Perancis, Syafeek Ikhwan akur tersingkir Big Stage Alpha - Utusan Malaysia

Pernah juara di Perancis, Syafeek Ikhwan akur tersingkir Big Stage Alpha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyanyi, Syafeek Ikhwan, akur menerima ketentuan perjalanannya dalam program Big Stage Alpha berakhir pada minggu pertama.

Syafeek atau Muhammad Syafeek Ikhwan Ghazali, 37 yang pernah memenangi juara program i-Sing Dunia di Perancis pada 2018 merasakan perjalanannya untuk dikenali sebagai penghibur begitu sukar walaupun sudah sedekad berusaha.

“Saya mulakan karier dalam pertandingan besar pada 2015. Lebih kurang 10 tahun tetapi masih tak naik-naik nama Syafeek Ikhwan ini.

“Kadang-kadang saya terfikir juga mungkin saya memang ditakdirkan untuk tidak terkenal ke?

“Tapi saya sejenis orang yang tidak mahu mengalah. Perasaan sedih itu ada tetapi bila difikirkan semula apa yang saya dapat kalau saya berhenti menyanyi?,” katanya.

Syafeek ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media Big Stage Alpha di Royal Theatre Shah Alam, Selangor, semalam.

Bagaimanapun, Syafeek tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata mengenangkan sokongan peminat yang sanggup mengeluarkan wang sendiri demi menyokongnya.

“Saya bukan sedih dan menangis sebab tersingkir. Tapi saya sedih kerana telah menghampakan peminat yang datang dan sokong saya.

“Adat pertandingan memang akan ada yang menang dan kalah, cuma tak sangka perjalanan saya akan terhenti (penyingkiran) seawal ini.

“Apa lebih mengecewakan bila saya tengok peminat yang bersusah payah datang, siap tempah baju dan bawa sepanduk. Saya rasa kenapa saya perlu susahkan mereka sedangkan tak ada apa-apa hasil untuk saya berikan kepada peminat,” ceritanya.

Mengakui datang daripada keluarga susah dan sering dibuli, Syafeek bagaimanapun enggan patah semangat sebaliknya tetap berusaha untuk mewujudkan impiannya sebagai penyanyi.
“Semangat ini mungkin datang kerana saya lahir dalam keluarga susah. Saya dah biasa hidup susah dari kecil, pernah disisihkan kawan-kawan kerana saya bukan anak orang kaya.

“Kesusahan itu membuatkan saya belajar untuk menjadi kuat dalam apa jua keadaan.

“Ibu saya pun selalu pesan kalau jatuh sekali, kita jangan bangun sekali sebaliknya kita bangun 10 kali. Itu yang saya pegang sampai hari ini,” katanya.

Semasa konsert minggu pertama malam tadi Syafeek merupakan antara peserta tersingkir selain Suff Ahmed, Apich Lo, Alif Azri, Shaqeen dan Ridhwan Azman.

Minggu pertama Big Stage Alpha menyaksikan 18 peserta membuat persembahan secara berkumpulan namun hanya 12 penyanyi dipilih untuk mara ke peringkat ‘The Big 12’. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN