KUALA LUMPUR: Pendakwaan akan mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi merujuk persoalan undang-undang berhubung Akta Hasutan 1948 ke Mahkamah Persekutuan.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin ketika sebutan kes berkenaan di sini semalam.
Terdahulu, peguam bela Muhyiddin, Amer Hamzah Arshad memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan untuk merujuk beberapa persoalan undang-undang berkait akta itu mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 pada 4 April lalu.
“Untuk makluman mahkamah, pihak kami telah memfailkan afidavit sokongan dan kami juga akan memfailkan afidavit tambahan bagi menyokong permohonan tersebut.
“Memandangkan notis permohonan itu masih belum dimeterai, kami memohon agar mahkamah ini menetapkan tarikh pengurusan kes selanjutnya dan memohon agar kehadiran anak guam dikecualikan pada prosiding akan datang,” katanya.
Hakim Muhammad Jamil kemudian menetapkan 29 April ini untuk pengurusan kes.
Kes hasutan membabitkan Muhyiddin itu dituduh di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan pada 27 Ogos 2024 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.
Muhyiddin didakwa menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu antara pukul 10.30 malam hingga 11.50 malam pada 14 Ogos 2024.-UTUSAN










