Perlis telah banyak berubah, maju dalam sektor pelancongan - Raja Perlis

Perlis telah banyak berubah, maju dalam sektor pelancongan – Raja Perlis

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail pada majlis perasmian penggal persidangan ketiga sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail melihat telah banyak berlaku perubahan dan kemajuan kebelakangan ini di Perlis khususnya dalam aspek pelancongan.

Titah baginda, Perlis menjadi tumpuan pelancong khususnya bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 dan berdasarkan statistik Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah merekodkan kemasukan 2.99 juta pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri ini pada tahun lalu.

Titah baginda, jumlah kemasukan pengunjung yang ramai itu adalah cerminan kepada kemajuan produk dan industri pelancongan Perlis yang mencapai tahap membanggakan. 

“Selain itu, ia juga akan memberikan impak yang positif kepada pengusaha dan pemain industri makanan serta hospitaliti di negeri ini,” titah baginda bersempena perasmian penggal persidangan ketiga sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid dengan diiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail  bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. 

Awal tahun ini, kerajaan negeri turut melancarkan kalendar atau takwim acara pelancongan sepanjang tahun yang sekali gus menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.

Terdapat 56 acara pelancongan telah dirancang dan bakal dijalankan sepanjang tahun ini yang merangkumi kluster pelancongan eko, membeli belah dan makanan, pelancongan agro, pelancongan sejarah, warisan, seni dan budaya serta pelancongan sukan dan rekreasi.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menzahirkan rasa kagum dengan rakyat negeri ini yang bijak mengambil peluang membina hotel dan inap desa yang cantik bersama reka bentuk unik setanding negeri-negeri pelancongan lain.

“Justeru, untuk mengekalkan status ini, semua pihak haruslah bertanggungjawab dalam memastikan segala prosedur dan tatacara dipatuhi sebaiknya,” titah baginda.

Baginda seterusnya bertitah, pencapaian terbaru Perlis adalah dengan pembukaan kilang dan perasmian Jabil Circuit Sdn Bhd pada 7 April lalu dan pada tahun ini juga akan menyaksikan Perlis Inland Port (PIP) beroperasi.

“Ia pastinya akan menjadikan negeri Perlis sebagai hub kepada pengeksportan kargo darat negara. Beta juga yakin dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) ini akan menyaksikan pembinaan dan pengoperasian Sanglang Port. Kesemua fasa-fasa pembangunan ini akan menjadikan Perlis dalam tahun mendatang menyaksikan perubahan sektor ekonomi yang lebih progresif,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya