PETALING JAYA: Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) membantah cadangan penguatkuasaan paparan harga ubat di hospital dan klinik swasta bermula 1 Mei ini.
Presidennya, Dr. Boi Saidi Abd. Razak berkata, pelaksanaan dasar itu dilihat sebagai satu bentuk campur tangan yang tidak wajar oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam sektor kesihatan.
Katanya, selain menimbulkan kekeliruan dalam penguatkuasaan, tindakan itu juga akan membebankan operasi pentadbiran klinik swasta.
“Penggunaan dua akta serentak yang mengawal selia perkhidmatan klinik swasta akan menyebabkan pertindihan kuasa dan kekeliruan dalam pentadbiran. Ia juga memberi tekanan yang tidak sepatutnya kepada pengusaha klinik.
“Campur tangan KPDN melalui Akta 723 tidak munasabah kerana tiada kawalan harga ubat di Malaysia. Malah, kami bimbang dengan risiko dikenakan kompaun atau hukuman penjara ke atas kesalahan kecil yang berlaku tanpa budi bicara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam akhbar ini melaporkan, hospital dan klinik swasta akan memaparkan harga ubat-ubatan di fasiliti mereka bermula 1 Mei ini selaras dengan dasar ketelusan harga dalam perkhidmatan kesihatan.
Boi berkata, pihaknya bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) kesihatan lain turut berpandangan bahawa harga ubat sepatutnya ditentukan oleh klinik dan bukannya dikawal oleh agensi luar yang tiada autoriti perubatan.
Katanya, penguatkuasaan itu juga tidak akan memberi manfaat besar kepada pesakit dalam mendapatkan maklumat sebenar kos rawatan di klinik swasta.
“Cadangan penguatkuasaan ini tidak membantu pengguna seperti yang disasarkan, lebih baik sekiranya dibuat di bawah pekeliling dalaman Kementerian sahaja serta dilaksanakan secara pilihan oleh pemilik klinik.
“Langkah itu juga seharusnya tidak disandarkan pada mana-mana akta yang boleh membawa hukuman kompaun atau penjara,” katanya. – UTUSAN