JOHOR BAHRU: Menyedari terdapat permintaan bagi produk ubat gigi mesra kanak-kanak tanpa fluorida, sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tampil menyediakan penyelesaian.
Hasil penyelidikan selama 10 tahun, Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) UTM diterajui Pengarahnya, Prof. Madya Dr. Rosnani Hasham berjaya menghasilkan ubat gigi berasaskan nanas.
Katanya, produk dinamakan AnanaShine itu memanfaatkan sumber semula jadi yang banyak dihasilkan di negeri ini, sekali gus mengurangkan pembaziran melibatkan tanaman kontan berkenaan.
“Nanas dipilih kerana komposisi unik yang mengandungi bromelain dan bertindak sebagai enzim proteolitik membantu menguraikan plak dan sisa protein serta lebih lembut pada enamel gigi.
“Buah tersebut juga kaya dengan antioksidan dan asid malik yang menyumbang kepada pemutihan gigi secara semula jadi. Fluorida memang bahan sering digunakan dalam ubat gigi komersial, namun ia boleh memberi kesan sampingan seperti fluorosis sekiranya tertelan dalam kuantiti banyak oleh kanak-kanak.
“Oleh itu, produk ini direka khas sebagai bahan edible (boleh dimakan) menjadikannya selamat jika ditelan kanak-kanak. Ia juga mengandungi sorbitol dan gliserin sebagai ejen pemanis yang mengekalkan kelembapan pada bibir dan permukaan mulut,” katanya.
Rosnani yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga UTM turut memberitahu, hampir keseluruhan buah nanas diekstrak dan digunakan bagi penghasilan produk yang menepati piawaian itu.
“Bagi memastikan ubat gigi ini menarik golongan sasar iaitu kanak-kanak, kita telah menambah ekstrak jus nanas. Hasil akhir produk ini menepati piawaian keselamatan oral termasuk Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) ditetapkan Kementerian Kesihatan.
“Produk ini menyasarkan niche market iaitu golongan ibu bapa yang mengutamakan produk penjagaan diri dengan mementingkan aspek kesihatan untuk anak-anak mereka.
“Produk yang baharu berusia beberapa bulan ini telah merangkul pingat perak dalam Pameran Seni Industri dan Teknologi (INATEX) 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Oktober lalu,” ujarnya.
Tambah Rosnani, kumpulan penyelidik UTM bersama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) sedang giat mencari rakan kerjasama strategik bagi tujuan pemasaran produk itu ke pasaran lebih besar.-UTUSAN