“DI MANA sahaja dalam kawasan Bangi ini tidak sesak lalu lintasnya? Pintu masuk utama ke Bandar Baru Bangi melalui Bulatan Tol Bangi dan Bulatan NIOSH sesak, Jalan Reko Fasa 2 sesak, Jalan Jenderam-Bangi sesak dan Jalan Uniten-Dengkil juga sesak. Sampai bila begini?”
Begitulah luahan orang ramai yang selalu saya dengar setiap kali ada urusan dan tujuan jika ke Bangi, Selangor. Beberapa kawasan utama di sana sering mengalami kesesakan lalu lintas, apatah lagi pada waktu puncak.
Bukan mereka sahaja yang tertekan apabila tersangkut dalam trafik, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan sendiri mengakui isu kesesakan lalu lintas adalah antara masalah yang utama di Parlimen Bangi, terutama di Bandar Baru Bangi dan kawasan Sungai Long.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu berkata, Bangi dan Kajang adalah kawasan yang melalui pertumbuhan pesat di Selangor yang menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, pekerja serta komuniti perniagaan.
Namun, perkembangan pesat itu tidak selari dengan peningkatan kapasiti infrastruktur jalan raya menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk terutama pada waktu puncak pagi dan petang.
“Saya kenal pasti ada beberapa isu utama di sini seperti pertambahan jumlah kenderaan melebihi kapasiti jalan sedia ada, penyelarasan lampu isyarat tidak efisyen dan parkir haram.
“Tidak terkecuali juga isu penyalahgunaan lorong jalan, pengangkutan awam terhad dan tidak menyeluruh dan kurangnya laluan alternatif serta jalan pintas,” katanya kepada Mingguan Malaysia selepas hadir ke program Santai Raya Bangi di Jalan Reko di sini, baru-baru ini.
Kata-kata itu tidak boleh dinafikan lagi. Syahredzan benar-benar tahu apa masalah komuniti Parlimen Bangi hadapi setiap hari.
Dalam beliau cuba sehabis baik untuk mengurus keperluan dan pembangunan di kawasannya, beliau faham masalah itu tidak selesai dalam tempoh sehari dua.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 2022, Syahredzan menang kerusi Parlimen Bangi dengan meraih 69,701 majoriti undi (141,568 undi) menewaskan tujuh calon lain antaranya daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan
Nasional (BN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Dalam pada itu, katanya, ada penyelesaian jangka pendek yang dibincang seperti penyelarasan lampu isyarat dengan menilai semula tempoh dan penyegerakan lampu isyarat utama.
Bagaimanapun, jelasnya, penyelesaian jangka masa sederhana adalah melebarkan jalan bagi beberapa tempat seperti Jalan Reko dan Persiaran KWSP di Bandar Baru Bangi dan pembinaan lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) bagi menyuraikan trafik di Sungai Long dan Bandar Mahkota Cheras.

Syahredzan juga mengakui pelebaran jalan dan pembinaan lebuh raya bukan penyelesaian tuntas selagi masyarakat masih bergantung kepada kenderaan persendirian.
“Saya sudah beberapa kali membangkitkan di Parlimen mengenai meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan masyarakat.
“Kita perlu lihat isu kesalinghubungan pengakutan awam, isu batuan pertama dan terakhir dan memastikan pengangkutan awam ini menepati masa. Saya percaya pengangkutan awam solusi jangka masa panjang terhadap masalah kesesakan lalu lintas,” katanya.
Kata Syahredzan, lebih dua tahun mewakili suara rakyat Parlimen Bangi selepas bekas penyandangnya Dr. Ong Kian Ming tidak lagi mewakili kawasan itu, beliau sudah memberi khidmat yang terbaik.
Beliau akui, adakalanya cabaran itu datang bertubi-tubi kerana kawasan parlimen yang terlalu besar dari segi komposisi pengundi. Maka, katanya, keperluan dan permintaan penduduk itu berbeza mengikuti lokaliti.
“Sudah tentu dengan jumlah pengundi dan penduduk yang besar ini memang ada cabaran tersendiri contohnya bagaimana kami mengurus dan menyampaikan program-program ataupun bantuan yang kami ada tawarkan.
“Namun, saya berani mencabar sesiapa pun untuk datang ke Parlimen Bangi dan tanya orang Melayu dekat sini apa kurangnya di Bangi hanya disebabkan kawasan ini diterajui seorang ahli Parlimen dari DAP?
“Alhamdulillah, dengan pasukan saya yang lebih berpengalaman, kami cuba melakukan yang terbaik untuk rakyat Bangi,” katanya. – UTUSAN










