Penyanyi Yasin bebas hukuman penjara seumur hidup, sebat

Penyanyi Yasin bebas penjara seumur hidup, sebat tetapi ke Hospital Bahagia

yasis
Penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman diiring pegawai penjara tiba bagi pendengaran rayuan sabitan dan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan selepas disabitkan atas tiga kesalahan berkaitan dadah, di Istana Kehakiman, Putrajaya, di sini, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini membebaskan penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman daripada hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan atas  atas tiga kesalahan berkaitan dadah.

Bagaimanapun, Yasin Sulaiman, 50, akan dihantar Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor sebagaimana yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Keputusan itu dicapai sebuat suara oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali selepas mengetepikan hukuman yang dijatuhkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan kembalikan hukuman Mahkamah Sesyen.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin. 

Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan Yasin atas tiga pertuduhan itu.

Kemudian pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan terhadap Yasin yang mana Hakim Datuk Norsharidah Awang menetapkan hukuman itu selepas Yasin didapati bersalah atas tiga pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN