ALOR SETAR: Continental Tyre Alor Setar yang akan menutup operasinya di lokasi itu pada 31 Disember depan berbuat demikian bagi memenuhi keputusan strategik syarikat yang berpangkalan di Hanover, Jerman itu.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, keputusan itu bukan kerana lokasi pengeluaran tidak sesuai, tetapi bertujuan mengoptimumkan portfolio produk dan penyesuaian kepada perubahan pasaran.
Katanya, kerajaan negeri dimaklumkan pihak syarikat merangka pelan pampasan adil dan bersesuaian, selain turut menyediakan latihan kemahiran tambahan sepanjang tempoh lapan bulan berbaki bagi meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran pekerja.
“Satu pertemuan rasmi diadakan hari ini antara kerajaan negeri bersama pihak Continental Tyre Alor Setar, berhubung pengumuman penutupan kilang mereka.
“Antara punca penutupan kilang itu adalah disebabkan persaingan yang sengit. Pihak syarikat memaklumkan keputusan dibuat pada 25 April itu adalah hasil semakan strategik operasi peringkat global dan rantau Asia Pasifik (APAC).
“Ia bertujuan untuk mengoptimumkan portfolio produk dan penyesuaian kepada perubahan pasaran, bukanlah kerana lokasi pengeluaran yang tidak sesuai,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco, hari ini.
Haim Hilman berkata, seramai 950 pekerja syarikat itu dijangka terkesan susulan penutupan operasi kilang, merangkumi kira-kira 750 pekerja bahagian operasi dan selebihnya pekerja profesional serta pengurusan.
Jelasnya, kerajaan negeri turut bersetuju membantu kakitangan syarikat yang terjejas melalui program penempatan dan latihan semula sebelum mereka ditempatkan ke syarikat sedia ada di Kedah.
“Kita mengambil langkah proaktif memastikan kebajikan dan masa depan pekerja terus terjaga melalui program penempatan semula oleh Pusat Pembangunan Bakat Kedah (KTDC).
“Mereka akan dilatih semula dan ditempatkan di syarikat sedia ada atau yang baharu dibuka termasuk di syarikat tayar dari China yang akan melabur di Kedah Rubber City (KRC) Padang Terap,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya juga akan mengusulkan kepada Kerajaan Persekutuan agar dasar serta insentif pasca pelaburan diwujudkan sebagai tanda penghargaan negara kepada syarikat yang lama melabur dan beroperasi di Malaysia. – UTUSAN